Angkatan Muda PKR kesal dengan saranan penulis blog didaftar
Angkatan Muda Keadilan (AMK) kesal sekali dengan kenyataan Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor yang menyarankan supaya penulis blog di Malaysia didaftarkan.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) kesal sekali dengan kenyataan Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor yang menyarankan supaya penulis blog di Malaysia didaftarkan.
"Kami kesal kerana ini menunjukkan Timbalan Menteri di kementerian itu sendiri mempunyai pemahaman yang begitu cetek sekali tentang teknologi komunikasi," kata Pemangku Ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin.
Beliau mendakwa, niat di sebalik cadangan ini ialah untuk menumpaskan suara rakyat dan mencabuli hak rakyat untuk bersuara mengenai isu-isu kepentingan rakyat, khasnya menjelang pilihanraya umum.
"Kami berpendapat bahawa cadangan ini berasal dari rasa takut di kalangan kerajaan kerana penulis blog telah berjaya mendedahkan kemerosotan dan kerakusan yang berleluasa dalam kerajaan," tambahnya.
Shamsul berkata, ini termasuk tuduhan rasuah dalam hal pembelian kapal selam Scorpene, jet Sukhoi dan kapalterbang terbaru kerajaan, kuasa Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri membebaskan tahanan di bawah Ordinan Darurat dan peruntukan RM600 million yang akhirnya menguntungkan ketua Umno bahagian.
"Dengan contoh-contoh tersebut, sudah tentu kerajaan akan cuba mengambil langkah untuk mendiamkan rakyat daripada menyebarkan kebenaran," katanya lagi.
Komen Shaziman itu juga, katanya, pasti akan mengakibatkan rasa tidak yakin di kalangan pengguna internet untuk mengguna perkhidmatan 'hosting' yang bertapak di Malaysia serta mengurangkan nombor pengguna yang mengguna domain yang berakhir dengan ".my".
"Ini seterusnya melemahkan industri internet di Malaysia. AMK mendesak kerajaan supaya tidak menapis internet dan mengekalkan kebebasan internet," katanya.

