Calon DAP dalam pilihanraya kecil Machap, Liou Chen Kuang mendakwa lawannya dari Barisan Nasional (BN) terbabit dalam politik wang menjelang hari pengundian pada 12 April ini.
Liou berkata, calon BN, Lai Meng Chong, menyalahgunakan jentera serta wang kerajaan untuk mendapatkan undi di Machap.
Liou turut membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihanraya, mendakwa Lai telah melanggar undang-undang pilihanraya dengan menawarkan sogokan kepada pengundi.
Beliau membuat dakwaan tersebut ekoran laporan dalam akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily semalam yang melaporkan Lai telah berjanji untuk memberi peruntukan RM6,000 hingga RM13,000 untuk lima keluarga bagi memperbaiki rumah mereka.
Ketua jentera pilihanraya MCA, Peng Fei Xun dan para pegawai khas Ketua Menteri Melaka yang hanya dikenali sebagai Mahadevan dan Shahril turut mengiringi Lai sepanjang kempennya.
Adalah jelas Lai telah menyalahgunakan wang kerajaan dan jentera negeri untuk partinya dan kepentingan dirinya. Ini adalah perbuatan menyogok pengundi, kata Liou dalam kenyataan hari ini.
Menurut Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, adalah menjadi satu kesalahan untuk menjanjikan atau menawarkan sebarang wang atau pertimbangan berharga kepada pemilih atau pengundi.
Tiada kuasa
Hukumannya termasuk penjara untuk tempoh tidak melebihi satu tahun dan denda tidak melebihi RM2,000.
Mereka yang melakukan kesalahan tersebut tidak boleh dipilih dalam sebarang pilihanraya atau jika pada tarikh itu, dia telahpun dipilih dalam pilihanraya, maka kerusinya akan menjadi kosong dari tarikh dia disabitkan kesalahan.
Liou berkata, Lai tiada kuasa untuk menggunakan wang dan jentera kerajaan walaupun beliau adalah setiausaha politik kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan Onn.
Juga, pegawai kerajaan negeri yang mengiringi Lai dalam kempennya juga tiada kuasa untuk menjadikan peruntukan seumpama itu, kata Liou lagi.
Katanya, setiap calon mesti dibiarkan bertanding secara adil, tidak kira parti mana yang mereka wakili dalam pilihanraya tanpa penyalahgunaan jentera dan wang kerajaan.
Saya menggesa pihak SPR supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap Lai dan mereka yang terbabit bagi memastikan pilihanraya kecil ini dijalankan dengan adil dan bersih, tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak bagaimanapun menafikan dakwaan DAP itu dan menganggapnya sebagai tiadakan terdesak parti pembangkang tersebut.
Najib, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, DAP sudah kemarau isu, hingga sanggup membuat dakwaan seumpama itu terhadap calon BN.
Sebagai calon, beliau(Lai) tidak mempunyai kuasa, tetapi apabila mereka (penduduk Machap Baru) mempunyai masalah seperti memerlukan rumah untuk rakyat miskin, beliau akan mendapatkan borang dan mengemukakannya kepada ketua menteri untuk dipertimbangkan. Ini tidak melanggar undang-undang, katanya dalam laporan Bernama.
Lai digesa letak jawatan
Sementara itu, Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San berkata Lai, 56, sewajarnya meletakkan jawatannya sebagai setiausaha politik ketika bertanding dalam pilihanraya kecil Machap.
Menurut senarai tahunan jawatan persekutuan 2007, Lai dibayar RM7,187.40 sebulan, diberi sebuah kereta rasmi dan turut disediakan seorang pemandu.
Jumlah itu, kata Goh dalam kenyataan, adalah lebih tinggi daripada elaun untuk seorang ahli Dewan Undangan Negeri Melaka.
Lai sewajarnya meletakkan jawatan atau bercuti tanpa gaji dan secara terbuka berjanji tidak akan menggunakan kereta rasminya, pemandu, petrol yang dibayar dengan wang rakyat dan imbuhan lain sewaktu pilihanraya kecil ini berlangsung, tambahnya.
Machap mempunyai 9,623 pengundi berdaftar, termasuk 108 pengundi pos. Pengundi majoriti terdiri daripada kaum Cina (45 peratus), diikuti 38 peratus pengundi Melayu, 15 peratus pengundi India dan 2 peratus lain-lain kaum.
Kerusi Machap kosong selepas kematian penyandangnya dari BN, Datuk Wira Poh Ah Tiam, 55, pada 15 Mac. Poh mengekalkan kerusi itu dalam pilihanraya umum 2004 dengan menewaskan Liou dengan majoriti 4,562 undi. Berita asal