|
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa membuktikan komitmennya dalam mengadakan pilihanraya yang adil dan bersih, dengan mengambil tindakan untuk membanteras politik wang yang didakwa berleluasa dalam pilihanraya kecil Ijok, yang mencecah RM100 juta.
Dalam membuat gesaan tersebut, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang mempertikaikan kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam temubual dengan Mingguan Malaysia semalam yang menafikan tanggapan umum bahawa SPR tidak adil, tidak bebas dan tidak telus dalam mengendalikan pilihanraya.
Menurut Lim, bagaimanakah SPR mendakwa ia mengendalikan pilihanraya yang adil dan telus pada masa lalu sedangkan wujud kecacatan yang tidak ditangani seperti berikut:
Parti pembangkang tidak dibenar menghantar ejen menyelia pembuangan undi pos oleh anggota polis dan pasukan keselamatan bagi memastikan ia dijalankan secara adil dan bebas.
Kehadiran ramai pengundi hantu.
Tidak mampu memastikan senarai pemilih yang komprehensif dan inklusif dengan peratus tertinggi pengundi yang layak, memandangkan terdapat 4.9 juta yang belum mendaftar.
Melarang liputan media yang berat sebelah, tidak jujur dan tidak benar, sama ada di media cetak, radio atau televisyen sewaktu kempen pilihanraya, seperti penyiaran kartun tidak beretika, tulisan, siaran serta iklan untuk menakutkan pengundi terhadap pembangkang.
Melarang amalan politik wang, bukan sahaja oleh calon-calon, tetapi itu juga oleh parti-parti politik.
Melarang penyalahgunaan sumber-sumber dan dana kerajaan sewaktu kempen pilihanraya.
Tempoh kempen pilihanraya yang singkat yang sentiasa diputuskan oleh Perdana Menteri apabila beliau membubarkan Parlimen, sedang ia merupakan hak eksklusif SPR bagi memastikan sebuah pilihanraya yang "bebas, adil dan bersih".
Penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan sementara dengan memberi peruntukan dan membuat janji-janji pilihanraya berhubung projek-projek pembangunan, atau penyalahgunaan kuasa oleh menteri kerajaan sementara dengan menggunakan wang rakyat untuk berkempen seperti bagi kos perjalanan serta penyalahgunaan sumber-sumber awam.
Kemuncak baru
Lim mendakwa, penyalahgunaan tersebut sampai ke kemuncak baru dalam pilihanraya kecil Macap dan pilihanraya Ijok yang sedang berlangsung sekarang, terutama berlakunya tsunami wang politik untuk membeli undi.
Pegawai Daerah Alor Gajah, Hashim Ismail, selaku pegawai pengurus pilihanraya kecil Machap, mengumumkan semalam bahawa projek-projek pembangunan bernilai RM30 juta telah dicurahkan ke kawasan pilihanraya berkenaan sepanjang tempoh kempen diadakan, kata Lim dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, dakwa Lim, dana pembangunan bernilai RM30 juta itu bukanlah satu-satunya perbelanjaan calon Barisan Nasional (BN), kerana terdapat perbelanjaan lain yang ditanggung oleh calon dan BN serta parti-parti komonennya.
Undang-undang pilihanraya menghadkan perbelanjaan maksimum bagi seseorang calon dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga RM100,000 dan jumlah (RM30 juta ) itu berlebihan kira-kira 400 kali ganda dalam pilihanraya kecil Machap.
Keadaan politik wang ini lebih teruk lagi dalam pilihanraya kecil Ijok dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mengumumkan peruntukan RM36 juta bagi pelbagai projek pembangunan bagi kawasan pilihanraya tersebut, sebelum penamaan calon dibuat, katanya.
Lim berkata, dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi Santa Claus dengan menabur hadiah di seluruh kawasan pilihanraya kecil Ijok, maka jumlah peruntukan pembangunan yang dicurahkan ke Ijok mungkin berlipat kali ganda daripada peruntukan awal yang dibuat oleh Dr Mohd Khir.
Semua orang tahu
Beliau mendakwa, dengan wang yang dicurahkan oleh BN dan parti-parti komponennya, jumlahnya perbelanjaannya boleh mencecah RM100 juta, iaitu lebih 1,000 kali ganda melebihi had yang ditetapkan sebanyak RM100,000.
Persoalan yang penting ialah berapa peratuskah daripada RM100 juta itu sampai kepada rakyat atau dirampas separuh jalan oleh para kroni dan proksi, tambahnya.
Lim hairan mengapakan SPR hanya berdiam diri sedangkan beliau mendakwa perbuatan tersebut dilakukan secara terang-terangan.
Tanya sesiapa sahaja, malah pelajar pun akan tahu mengenai politik wang ini, kecuali (Tan Sri) Abdul Rashid.
Apakah SPR bersedia menunaikan tugasnya secara bebas, profesional dan penuh komitmen dengan melakukan sesuatu terhadap perbuatan politik wang yang paling teruk dalam tempoh 50 tahun sejarah pilihanraya kecil Ijok? katanya.
|