Wan Azizah gesa polis berhenti ganggu ceramah PKR di Ijok
Apr 25, 07 3:00pm

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa pihak polis supaya berhenti mengganggu aktiviti parti tersebut di pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.

Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, beliau terkejut dengan gangguan-gangguan terhadap ceramah PKR sejak beberapa hari kebelakangan ini.

"Ahli-ahli parti kami telah diancam akan ditangkap oleh polis sewaktu mengadakan ceramah.

"Tetapi apabila ahli-ahli kami diancam dicederakan oleh samseng Barisan Nasional sewaktu mengadakan kempen dari rumah ke rumah, tiada sebarang tindakan yang diambil,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, menurut kenyataan tersebut, pengeluaran permit untuk ceramah sewaktu pilihanraya tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah.

Polis juga, katanya, cuba menghentikan ceramah oleh Wan Azizah di Pekan Batang Berjuntai, Jalan Besar.

"Saya menggesa pihak polis supaya bersikap profesional dan tidak memihak.

"Saya bimbang tindakan ganas dan gangguan terhadap pekerja dan penyokong parti kami akan bertambah dalam tempoh beberapa hari ini,” kata Wan Azizah lagi.

Jaga kepentingan rakyat

Katanya, pihak polis sepatutnya berkhidmat menjaga kepentingan rakyat, dalam kes ini, penduduk Ijok, yang mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat.

Menurut kenyataan itu lagi, pada malam Selasa lalu, pihak polis cuba menghentikan sekurang-kurangnya empat ceramah PKR di Ijok. Pada malam Isnin, para pegawai polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengerumuni sebuah ceramah PKR dan berusaha untuk menghentikannya.

Menurutnya, alasan yang diberikan oleh pihak polis kepada peguam PKR pada malam itu ialah Umno juga menganjurkan satu majlis di Batu 4 dan di Jalan Besar di Pekan Batang Berjuntai dan jalan tersebut sempit untuk menampung orangramai.

Pihak polis juga, kata kenyataan itu lagi, berkata ceramah di Restoran Hai Ye Tian di Simpang 3 Pekan Ijok akan menyebabkan kesesakan lalulintas manakala satu lagi ceramah yang diadakan di Padang Taman Muhibah di Sungai Darah bertembung dengan majlis taklimat yang diadakan Jabatan Penerangan.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, ceramah PKR telah menarik lebih seribu orang setiap malam di banyak tempat yang diadakan, termasuk ceramah yang diganggu oleh pihak polis, tanpa menyebabkan masalah lalulintas atau mengganggu ketenteraman awam.

Malam tadi, barisan pemimpin DAP turun ke Ijok untuk membantu kempen calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim. Mereka terdiri daripada Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen DAP – Chong Chong Eng Fong Po Kuan, Dr Tan Seng Giaw – dan Adun DAP Sekincan, Ng Swee Lin.

Turut sama ialah Ahli Parlimen PAS, Salahudin Ayub, yang juga ketua Dewan Pemuda PAS pusat.

Anwar tidak terkecuali

Sementara itu, Kit Siang, ketika dihubungi mendakwa, buat pertamakali dalam sejarah politiknya, polis bertindak menghentikan ceramahnya.

“Saya telah menyaksikan begitu banyak pilihanraya kecil sejak 40 tahun yang lalu, dan kita tidak pernah memerlukan permit untuk mengadakan ceramah. Apakah standard yang diamalkan oleh polis,” katanya.

Malah, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak terkecuali. Ceramahnya di Ladang Tuan Mee juga diberhentikan separuh jalan kerana pihak penganjur dikatakan tidak mendapatkan permit polis.

Anwar berkata, pihaknya akan memohon permit dan akan datang lagi keesokan harinya untuk berceramah di situ.

“Kita tengok berapa banyak permit yang mereka akan tolak,” katanya kepada hadirian yang menghadiri ceramahnya itu.

Manakala di Pekan Ijok, Anwar menggesa pihak polis supaya merujuk kepada undang-undang pilihanraya dan tidak menggunakan Akta Polis untuk menghentikan cramah politik.

Di bawah Akta Polis, notis untuk mengadakan perhimpunan awam mesti dikemukakan 14 hari sebelum ia diadakan dan bergantung kepada kelulusan pihak polis.

Bagaimanapun, dalam pilihanraya kecil ini, tempoh kempennya hanyalah sembilan hari sahaja. Calon PKR, Khalid, akan berdepan dengan calon BN, K Parthiban Sabtu ini.

Klip video

 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner