Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi menteri pelajaran enggan memansuhkan Akta Pelajaran 1991 Seksyen 21 (1B) yang memberi kuasa kepada menteri berkenaan menutup atau memansuhkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil, walaupun banyak kali dirayu oleh masyarakat Cina.
Sebaliknya, Najib berkata, apabila dilantik menteri pelajaran pada 1995, beliau mengambil keputusan berani memenuhi hasrat kaum Cina dengan menarik balik kuasa atau peruntukan itu apabila membentangkan Akta Pelajaran yang baru pada 1996.
"Tapi waktu Anwar jadi menteri pelajaran, dia tidak mahu mansuh peruntukan ini kerana mahu jadi seorang yang popular di kalangan orang Melayu intelek. Dia jaga kedudukan dia, sebaliknya tidak mahu mansuhkan peruntukan ini pada masa dia ada kuasa sebagai menteri," katanya ketika berucap pada malam mesra rakyat bersama kaum Cina di Dewan SM Teknik, Batang Berjuntai.
Menurut laporan Bernama, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, peruntukan baru itu menjamin SRJK (C) dan Tamil terus wujud di negara ini.
"Inilah sumbangan saya kepada masyarakat Cina (dan India) semasa jadi menteri pelajaran...kita nak tanya waktu Anwar jadi menteri pelajaran apakah you buat atau bikin (untuk memenuhi permintaan masyarakat Cina).
Kalau hari ini kononnya perjuangkan kepentingan masyarakat Cina, pada waktu ada kuasa apa you bikin," katanya dan secara spontan disambut dengan tepukan lebih 1,000 hadirin, kebanyakannya pengundi Cina di DUN Ijok.
Oleh itu, Najib percaya Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan mendapat sokongan masyarakat Cina kerana penasihatnya, Anwar, pernah gagal memenuhi kehendak dan aspirasi masyarakat Cina dalam isu pendidikan ketika memegang jawatan menteri pelajaran dan berkuasa berbuat demikian.
Berikutan itu, katanya, pengundi Cina tidak akan termakan dengan janji-janji manis Anwar dan parti pembangkang itu kononnya mereka akan memperjuangkan kepentingan mayarakat Cina semata-mata untuk memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.
Nafi pemimpin MCA tidak berani
Najib juga menafikan dakwaan pembangkang bahawa pemimpin-pemimpin MCA tidak berani memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina dalam jemaah menteri atau menjadi "yes men" sahaja.
"Saya duduk dalam kabinet sejak 1986 sampai ke hari ini dan saya boleh beri pengakuan bahawa pemimpin-pemimpin MCA dalam jemaah menteri sentiasa perjuangkan kepentingan kaum Cina dan negara keseluruhannya.
"Mungkin mereka tidak seperti pemimpin DAP...bercakap di luar...menjerit di sana menjerit di sini tapi MCA lain, cakap dalam mesyuarat jemaah menteri dan Barisan Nasional berbincang dengan pemimpin-pemimpin Umno," katanya.
Timbalan Perdana Menteri juga sekali lagi memberi jaminan bahawa penutupan tapak pelupusan sampah di Kubang Badak, Batang Berjuntai di sini adalah muktamad dan tidak akan di buka lagi seperti dakwaan pembangkang.
"Jadi pada malam ini saya sebagai Timbalan Perdana Menteri memberi pengakuan bahawa tapak pembuangan sampah ini akan ditutup sama sekali dan tidak akan dibuka. Ini adalah keputusan yang muktamad," katanya.
Pada majlis itu Najib turut menyampaikan cek berjumlah RM1 juta untuk pembinaan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Chih Batang Berjuntai.
Reaksi DZ
Sementara itu, penasihat undang-undang badan pendidikan Cina, Dong Zhong (DZ), Yang Pei Keng (foto) berkata Akta Pelajaran 1996 yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika beliau menjadi menteri pendidikan, telah memburukkan lagi masalah berhubung pendidikan Cina.
Katanya, pindaan terhadap Akta Pelajaran 1961 pada 1996 yang dibuat oleh Najib telah menyelesaikan satu masalah dengan memansuhkan Seksyen 21 (1)(b), tetapi menimbulkan masalah baru dengan tambahan Seksyen 17 (1).
Menurutnya, Seksyen 17 (1) telah memberi kuasa baru kepada menteri pelajaran untuk memaksa sekolah vernakular menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
Akta sebelumnya hanya menghalang sekolah rendah tetapi kini akta baru itu membolehkan kementerian menghalang, daripada pendidikan pra-sekolah hingga kepada pendidikan selepas peringkat menengah, katanya.
Berdasarkan kepada Seksyen 28 dalam akta baru itu, hanya sekolah vernakular milik kerajaan negeri atau yang diberi kebenaran khas oleh menteri pelajaran, yang mungkin dikecualikan daripada pruntukan di bawah Seksyen 17 (1).
|