Setiausaha Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK), SD Johari Yassin menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan ketua AMK kerana memprotes tindakan penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya campurtangan dalam pemilihan pergerakan itu dalam kongres nasional di Seremban, 25 Mei ini.

Johari mendakwa, Anwar telah mengarahkan pemangku AMK, Shamsul Iskandar Md Akin mencari jalan supaya beliau kalah dalam pertandingan jawatan timbalan ketua AMK.

Menurutnya, beliau mendapat pencalonan 42 pencalonan yang tertinggi untuk jawatan timbalan ketua AMK manakala manakala persainga terdekat, Feriz Musa mendapat 11 pencalonan.

"Saya kecewa dengan campurtangan Anwar dalam pemilihan AMK yang sepatutnya diputuskan oleh para pewakilan daripada 82 bahagian AMK di seluruh negara," katanya.

Johari mendakwa, Anwar tidak senang dengannya kerana beliau terlalu rapat dengan bekas ketua AMK, Ezam Mohd Noor dan tindakan nya mengkritik bekas timbalan perdana menteri itu semasa kempen pilihanraya kecil Ijok baru-baru ini.

Bercakap kepada malaysiakini hari ini, beliau percaya wujud percubaan untuk meminggirkan orang kuat Ezam dalam AMK.

Berikutan itu, pertandingan jawatan timbalan ketua AMK akan menyaksikan tiga penjuru antara Feriz, Zamakhsari Ibrahim dan Ahmad Zaki Yamani. Manakakala jawatan ketua AMK akan menyaksikan perebutan antara Shamsul Iskandar dan ketua PKR bahagian Parit Sulong, Hasmi Hashim.

'Kritik Anwar'

Johari mendakwa, beberapa calon Naib Ketua AMK akan menarik diri daripada bertanding dalam kongres nasional sebagai tanda protes terhadap campurtangan Anwar dalam pemilihan parti.

Katanya, mereka kecewa kerana Anwar tidak boleh menerima pemimpin yang berbeza pendapat dengannya dan yang berani mengkritik beliau.

Bagaimanapun, Johari berkata, beliau akan terus mengkritik Anwar dan pemimpin lain yang tidak betul dan beliau sanggup menerima tindakan, termasuk dipecat daripada parti.

"Mengenai masa depan dalam PKR, saya akan lihat selepas kongres, tetapi saya akan lebih rapat dengan badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) yang ditubuhkan Ezam.

"Saya berjuang bukan kerana mengejar jawatan tetapi menegakkan keadilan apabila Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 2 September 1998," katanya.

Dalam kongres kali ini, pertandingan jawatan presiden PKR menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Anwar; penyandang jawatan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan bekas bendahari agung PKR, Abdul Rahman Othman.

Manakala Dr Syed Husin Ali menang tanpa bertanding jawatan timbalan presiden setelah Azmin Ali menarik diri dan mempertahankan jawatan naib presiden.

Sebelum ini, Ketua PKR bahagian Kepong, Datuk S Nallakarupan menarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden walaupun menerima pencalonan kedua tertinggi.

Sementara itu, ketika ditemui dimajlis perasmian bangunan baru PAS di ibunegara petang ini, Anwar berkata beliau tidak mencampuri urusan pemilihan PKR hujung minggu.

Sebaliknya, kata beliau, urusan tersebut terpulang kepada perwakilan untuk memilih calon yang akan memimpin mereka dan parti itu.