Pihak pendakwa hari ini menyenaraikan lima percanggahan dalam keterangan saksi utama mereka, Lans Kpl Rohaniza Roslan dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Pendakwaraya, Noorin Badaruddin memberitahu mahkamah, keterangan tersebut berbeza dengan apa yang dinyatakan oleh Rohaniza, 29, (foto) dalam kenyataan asalnya kepada pihak polis sebelum ini.

Rohaniza memberitahu mahkamah bahawa dia memang membuat kenyataan tersebut. Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin kemudian Rohaniza memberi justifikasi terhadap percanggahan tersebut.

1. Bekas teman lelakinya tidak berada dalam kereta Suzuki Vitara hijau.

Kenyataan asalnya: Rohaniza berkata, bekas teman lelakinya, Azilah Hadri tertuduh pertama dan Altantuya mengikuti seorang lelaki yang tidak dikenali dalam kereta Suzuki Vitara dari ibupejabat polis Bukit Aman.

Semalam: Dia memberitahu mahkamah, hanya lelaki yang tidak dikenali itu sahaja yang pergi bersama Altantuya dalam Vitara tersebut. Sebaliknya, dia berkata, Azilah pergi ke ibupejabat polis Bukit Aman.

Justifikasi: Menurut Rohaniza, sebelum membuat kenyataan (pertamanya), Dia ditempatkan di sebuah hotel selama dua hari oleh (pegawai penyiasat DSP Gan (Tack Guan) dan ASP (Tonny Lunggan) selepas 14 hari dia ditahan reman. Katanya, mereka tidak membenarkannya pulang ke rumah atau bertemu sesiapa.

Menurut Rohaniza, dia ditahan reman di balai polis Travers dan kenyataan tersebut bahagian jenayah berat D9. Di D9, katanya, mereka mengugutnya mungkin didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh). Dia juga berkata, mereka tidak mencatatkan apa yang dicakapkannya.

2. Ambil Azilah

Kenyataan asal: Rohaniza berkata Azilah telah meminta dia menjemputnya dengan keretanya dari plaza tol Jalan Duta atau Sungai Buloh selepas jam 12 tengahmalam 20 Oktober.

Semalam: Dia berkata Azilah meminta dia menjemutnya dari plaza tol Jalan Duta atau Rawang. (Rohaniza kemudian berkata, dia menjemput Azilah di ibupejabat polis Bukit Aman dan kemudian membawanya ke Putrajaya).

Justifikasi: Rohaniza berkata dia tidak dengar apa yang dicakapkan oleh Azilah dalam telefon kerana dia sedang berada di pusat karaoke. Dia hanya meneka tol yang disebut oleh Azilah ketika memberitahu perkara itu kepada pihak polis dan dia juga hanya meneka apabila memberitahu mahkamah mengenainya semalam. Katanya, dia sebenarnya tiak pasti tol yang disebut oleh Azilah.

3. Bila dia bertanya Azilah tentang Altantuya

Kenyataan asal: Rohaniza berkata dia bertanya Azilah mengenai Altantuya ketika dalam perjalanan ke Putrajaya.

Semalam: Rohaniza memberitahu mahkamah, dia bertanya Azilah tentang Altantuya ketika mereka dalam perjalanan ke rumah ibubapa Azilah di Sungai Pelek, Sepang, kemudiannya. Katanya, Azilah berkelakuan lain daripada biasa dan berdiam diri sepanjang perjalanan.

Justifikasi: Rohaniza berkata dia tidak ingat perbualan tersebut. Katanya, perbualan ketika dalam perjalanan ke Putrajaya telah lama berlaku. Jadi, katanya, dia tidak ingat ada menyebut mengenainya dalam kenyataannya kepada polis.

4. Jawapan Azilah berbeza

Kenyataan asal: Rohaniza berkata, dia bertanya kepada Azilah mengenai Altantuya ketika dalam perjalanan ke rumah keluarga Azilah di Sungai Pelek, Sepang. Azilah menjawab tidak ada apa-apa. Rohaniza memberitahu Azilah, jika dia tidak mahu beritahu, dia akan memeriksa maklumat tersebut dengan balai polis yang lain.

Semalam: Rohaniza memberitahu mahkamah, sewaktu dalam perjalanan tersebut, dia bertanya kepada Azilah mengenai Altantuya dan Azilah berkata dia risau kerana tidak tahu bagaimana Altantuya hilang. Rohaniza naik marah dan meminta Azilah memberitahu perkara sebenarnya, tetapi Azilah terus berdiam diri. Berdasarkan ini, dia memberitahu Azilah yang dia akan memeriksa mengenai perkara tersebut di balai-balai polis.

Justifikasi: Rohaniza berkata dia tidak ingat membuat kenyataan tersebut kepada polis. Katanya, perjalanan tersebut agak jauh dan dia tidak pasti mereka bertanya mengenai perjalanan yang mana satu. Katanya, dia merasakan jawapan 'tidak ada apa' oleh Azilah itu bermaksud sama dengan berdiam diri.

5. Periksa dengan balai polis

Kenyataan asal: Rohaniza berkata, dia telah memeriksa dengan berbagai balai polis beberapa kali sama ada sebarang laporan dibuat mengenai penculikan rakyat asing dan kes kematian mengejut. Dia berbuat demikian kerana Azilah berkelakuan pelik. Katanya, hanya dua jenayah tersebut yang terlintas di fikirannya ketika itu dan bukannya jenayah rogol kerana Altantuya nampaknya seperti menghadapi masalah besar, jadi dia terfikir Altantuya mungkin dibunuh atau diculik.

Semalam:

Dia memberitahu mahkamah bahawa dia hanya menyemak laporan mengenai kes rogol dan culik membabitkan rakyat asing di balai polis Travers dan Brickfields dari rakannya, Lans Kpl Leena Asing.

Justifikasi:

Saya malah tidak pasti sama ada saya gagal menyebut rogol sewaktu memberi kenyataan kepada pihak polis. Saya tidak ingat bertanya kepada rakan saya (Leena) mengenai laporan rogol. Saya tidak ingat membuat kenyataan mengenai laporan kematian mengejut.

Rohaniza juga mengejutkan para hadirin di mahkamah apabila mendedahkan yang dia menerima ancaman bunuh daripada seorang lelaki misteri.

Pada kira-kira jam 11.45 pagi, selepas mahkamah berihat seketika, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin meminta Noorin mengemukakan permohonan mencabar keterangan Rohaniza selepas pihak pendakwa selesai menyoal semua saksinya.

Mahkamah meneruskan perbicaraan dengan pihak pendakwa menyoal Rohaniza mengenai ancaman bunuh yang diterimanya dan tekanan dari pihak polis.

Azilah, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh Altantuya manakala penganalisa politik Abdul Razak Baginda, 47, dituduh bersubahat dengan mereka. Berita asal