Mais tidak akan berputus asa pujuk Revathi
Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tidak akan berputus asa untuk berusaha bersungguh-sungguh memujuk Siti Fatimah Abdul Karim atau M Revathi supaya kembali mengamalkan ajaran Islam kerana dia masih beragama Islam.
Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tidak akan berputus asa untuk berusaha bersungguh-sungguh memujuk Siti Fatimah Abdul Karim atau M Revathi supaya kembali mengamalkan ajaran Islam kerana dia masih beragama Islam.
"Keluarganya juga mahu Mais berusaha membawa Siti Fatimah kembali menjadi seorang Islam sebenarnya," kata Pegawai Perhubungan Awamnya, Rohana Hassan kepada malaysiakini hari ini.
Menurutnya, hasrat itu telah dinyatakan oleh ibu bapa Siti Fatimah kedua-duanya beragama Islam kepada pegawai Mais yang mengambil kenyataan mereka mengenai Siti Fatimah.
Untuk memenuhi hasrat ibubapanya itu, Rohana berkata, Mais sanggup menerima Siti Fatimah untuk ditempatkan di pusat pemurnian akidah Baitul Iman, Ulu Yam Baru untuk dipulihkan akidahnya.
Sebelum ini, katanya, Mahkamah Tinggi Syariah Melaka telah memutuskan supaya Siti Fatimah ditempatkan di pusat pemurnian akidah untuk tempoh selama 100 hari.
Bagaimanapun, kata Rohana, memandangkan pusat seumpama itu tidak ada di Melaka, maka pihaknya telah menawarkan tempat untuk Siti Fatimah di pusat pemurnian akidah Baitul Iman, Ulu Yam.
Katanya, Siti Fatimah ditempatkan di pusat tersebut mulai 8 Januari lalu selama 100 hari sepertimana arahan Mahkamah Tingggi Syariah Melaka.
"Mais kemudiannya memohon melalui Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 2 April lalu, untuk melanjutkan tempoh itu selama 80 hari lagi sehinggalah dia dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Jumaat lalu," katanya.
Pemurnian akidah
Bagaimanapun, walau berada selama 180 hari di pusat pemurnian akidah tersebut, katanya, Siti Fatimah enggan mematuhi proses pemulihan kerana mendakwa dia seorang penganut agama Hindu.
Mengenai dakwaan Siti Fatimah bahawa dia dipaksa makan daging (yang dilarang dalam agama Hindu), Rohana berkata, pihaknya tidak menerima laporan mengenai perkara tersebut.
"Mais melayannya sebagai orang Islam kerana permohonannya untuk keluar Islam belum diputus oleh mahkamah," katanya.
Rohana berkata, mengikut undang-undang Islam Selangor, jika seseorang itu telah memeluk Islam, mereka mesti menjadi umat Islam sehingga mati.
Beliau juga mengulangi kenyataannya Jumaat lalu bahawa pegawai di pusat pemurniaan Baitul Iman, di Ulu Yam tidak pernah memaksa Siti Fatimah memakai telekung atau sembahyang.
Dilahirkan oleh keluarga mualaf Islam dengan nama Siti Fatimah Abdul Karim dia dipanggil Revathi Masoosai oleh neneknya yang membesarkannya.
Dia berkahwin dengan V Suresh pada 2004 mengikut upacara agama Hindu dan kini mempunyai seorang anak perempuan berusia 18 tahun.
Pada bulan Januari tahun ini, Revathi ditahan di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka ketika dia menghadiri perbicaraan permohonannya supaya status agamanya diiktiraf sebagai Hindu.

