Pergerakan Pemuda Umno telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Ketua Penerangan PKR, Tian Chua kerana menyiarkan gambar palsu dalam blognya yang menunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak sedang makan bersama Abdul Razak Baginda dan Altantuya Shaariibuu.

"Kami sebagai Pemuda Umno dan rakyat Malaysia sakit hati dengan tindakan Tian Chua," kata Khairy yang membuat aduan tersebut. Turut sama ialah Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Harun dan pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abd Rahim.

Katanya, Tian sendiri mengaku itu adalah gambar palsu dan oleh itu, pergerakan tersebut menganggap ianya dilakukan dengan niat jahat.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan selama sejam dengan para pegawai SKMM, Khairy berkata, Tian telah menghina timbalan perdana menteri dan juga menyentuh perbicaraan kes pembunuhan Altantuya.

(Najib mempunyai hubungan rapat dengan Abdul Razak yang menghadapi tuduhan bersubahat dengan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) melakukan pembunuhan tersebut. Unit tersebut menyediakan kawalan keselamatan untuk pemimpin negara.

(Gambar yang menggunakan teknik pertindihan imej itu menunjukkan Najib, Razak and Altantuya sedang makan di sebuah restoran, tetapi Chua mengakui berbuat demikian untuk mendesak Najib menjelaskan hubungannya dalam kes tersebut, berdasarkan dakwaan yang dibuat semasa perbicaraan kes itu).

Khairy mendakwa, Tian telah melewati batasan demokrasi tetapi menegaskan bahawa tindakan Pemuda Umno membuat aduan kepada SKMM itu bukanlah satu percubaan untuk mengekang kebebasan bersuara atau menyunting kandungan internet.

Katanya, Pemuda Umno percaya Tian telah melanggar Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang melarang penyiaran artikel, gambar atau bahan lucah, palsu dengan niat menyinggung orang dan boleh didenda RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Ketika ditemui kemudiannya, Pengerusi SKMM, Datuk Dr Halim Shafie berkata, perkara itu mempunyai kepentingan awam dan suruhanjaya akan mempercepatkan siasatannya.

Ditanya sama ada Tian melakukan sebarang kesalahan bila wanita dalam gambar tersebut bukan Altantuya, Dr Halim berkata, ia bergantung kepada siasatan yang akan dijalankan."

Reaksi Chua

Dalam reaksinya terhadap laporan tersebut, Chua berkata, beliau akan menunggu makluman daripada SKMM sama ada beliau telah melakukan sebarang kesalahan.

Dalam satu lagi perkembangan, Khairy enggan mengulas apabila ditanya mengenai gambar komposisi digital yang disiarkan dalam lamanweb Pemuda Umno pada tahun 2005 yang dibantah oleh DAP.

"Ia tidak ada kaitan dengan laporan kita hari ini. (Mereka) tidak buat laporan," katanya.

Gambar dalam lamanweb tersebut yang dibuang beberapa hari selepas ia disiarkan, mengandungi pertindihan imej wajah-wajah pemimpin pembangkang di muka depan buku 'Alias Chin Peng: My Side of History'. Ia adalah autobiografi bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya. Berita asal