Pemuda Umno meminta MCA supaya berhenti membuat sebarang kenyataan bahawa negara ini sekular.

"Saya tidak akan biarkan isu ini berlarutan," kata ketua pergerakan itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurut Bernama, beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan yang mempertikaikan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa negara ini bukan sekular sebalik sebuah negara Islam.

Ketika ditemui di Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Ranau di Sabah hari ini, Hishammuddin berkata, kenyataan oleh Ong itu tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

Lagipun, katanya, itu bukanlah satu perkara baru.

Minggu lalu, selepas merasmikan satu persidangan antarabangsa mengenai negara Islam dalam dunia global di ibunegara, Najib dilaporkan berkata Malaysia bukan negara sekular tetapi merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri.

Najib berkata, Malaysia tidak pernah berpegang kepada sekularisme tetapi didorong oleh asas Islam kerana perlembagaan jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi.

Arahan KDN

"Islam adalah agama rasmi dan kita adalah negara Islam tetapi sebagai sebuah negara Islam tidak bererti kita tidak menghormati mereka yang bukan beragama Islam. Umat Islam dan orang bukan Islam masing-masing mempunyai hak," kata Najib.

Dalam reaksinya, Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan (foto) menegaskan bahawa semua dokumen sejarah berhubung pembentukan perlembagaan persekutuan dan penubuhan sebuah negara yang merdeka menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

"Ini adalah permuafakatan dan kontrak sosial yang dipersetujui oleh nenek moyang kita," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Oleh itu, katanya, kenyataan Najib bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam adalah tidak bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Manakala Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) mengesahkan telah mengarahkan semua media arus perdana supaya jangan menyiarkan sebarang berita mengenai Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan Dan Teks Al-Quran, Che Din Yusoh memberitahu malaysiakini bahawa mereka bimbang sekiranya dibiarkan, perkara itu boleh menimbulkan 'ketegangan'.