Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap dakwaan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menerima rasuah RM2 juta bagi membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat, ditutup.
Katanya, ini kerana keseluruhan siasatan BPR melalui saksi-saksi dan dokumen-dokumen yang berkaitan mendapati tiada apa-apa keterangan yang boleh mengaitkan Musa dengan tohmahan itu, katanya.
"Analisa terhadap penyata-penyata akaun bank Tan Sri Musa Hassan juga tidak menunjukkan sebarang kemasukan wang yang mencurigakan," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di Putrajaya hari ini.
BPR telah membuka satu kertas siasatan pada 18 Jun 2007 dan menjalankan siasatan rapi termasuk mengambil percakapan pihak-pihak yang dikatakan membayar wang RM2 juta kepada Musa dan keenam-enam saksi yang dikatakan telah mengaitkan ketiga-tiga subjek (tahanan) berkenaan sebagai anggota sindiket judi haram.
Di samping itu, BPR juga telah menyemak penyata-penyata akaun bank Musa dan harta-harta yang beliau miliki, katanya.
Kertas siasatan itu dibuka setelah Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Nazree Mohamad mengemukakan satu surat aduan dan e-mail kepada BPR pada 27 April 2007 yang mengandungi antara lain tohmahan itu.
Hasil siasatan
Gani berkata hasil siasatan BPR mendapati fakta-fakta berikut:
* Ketiga-tiga subjek berkenaan ditangkap pada 30 Mac 2007 kerana dikatakan menjadi ahli sindiket judi haram berdasarkan keterangan enam orang saksi yang telah diambil pernyataan mereka oleh IPD Kluang.
* Setelah ketiga-tiga subjek ini ditangkap oleh pihak IPD Kluang, Ketua Polis Negara telah menerima maklumat bahawa wujud penganiayaan dalam tangkapan subjek-subjek tersebut.
* Musa kemudian telah mengarahkan Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ketika itu, Pemangku DCP Datuk Khalid Abu Bakar, untuk menyiasat kes penangkapan ketiga-tiga subjek berkenaan memandangkan ada maklumat yang menyatakan berlakunya penganiayaan. Musa tidak pernah mengeluarkan arahan untuk ketiga-tiga subjek ini dibebaskan tetapi ada memaklumkan kepada Khalid bahawa sekiranya benar berlakunya penganiayaan berkaitan penangkapan ketiga-tiga subjek tersebut, mereka perlu dibebaskan.
* Siasatan yang diketuai oleh Khalid mendapati keenam-enam saksi yang dikatakan mengaitkan ketiga-tiga subjek sebagai ahli sindiket judi haram menafikan memberi apa-apa pernyataan kepada polis IPD Kluang yang mengaitkan ketiga-tiga subjek dengan sindiket judi haram. Lanjutan dari itu Khalid telah mengarahkan ketiga-tiga subjek berkenaan dibebaskan dan mencadangkan tindakan tatatertib kepada pihak polis yang terlibat.
* Ketiga-tiga subjek ini seterusnya dibebaskan pada 6 April, 2007 iaitu setelah mereka ditahan selama tujuh hari.
Sampel tandatangan
Gani berkata siasatan lanjut BPR melalui rakaman percakapan keenam-enam saksi yang terlibat itu mendapati keenam-enam mereka tidak pernah memberi apa-apa percakapan kepada pihak polis IPD Kluang berkaitan penglibatan ketiga-tiga subjek berkenaan dengan sindiket judi haram.
Keenam-enam mereka juga menyatakan tandatangan pada pernyatan di borang percakapan yang dikatakan diambil oleh polis IPD Kluang adalah bukan tandatangan mereka, katanya.
Beliau berkata sampel tandatangan keenam-enam saksi yang diambil oleh BPR didapati berbeza dengan tandatangan yang terdapat pada borang-borang percakapan polis berkenaan dan jelasnya bukan tandatangan keenam-enam saksi itu.
Siasatan BPR terhadap buku daftar lokap di IPD Kluang yang melibatkan tahanan keenam-enam saksi berkenaan dan pernyataan mereka yang diambil oleh polis IPD Kluang, mendapati pada tarikh dan masa yang tercatat pada pernyataan keenam-enam orang saksi berkenaan, sebenarnya lima orang daripada mereka berada di dalam lokap dan seorang lagi sedang dibawa ke mahkamah.
"Oleh itu tidak mungkin keenam-enam saksi ini telah memberi pernyataan mereka kepada pihak polis IPD Kluang pada tarikh dan masa yang dinyatakan dalam pernyataan-pernyataan bertulis mereka tersebut," kata Gani.
Arah siasatan
Berikutan dengan pendedahan BPR hasil daripada siasatan kes itu, Gani telah mengarahkan BPR menjalankan siaatan terhadap anggota-anggota polis yang disyaki memalsukan pernyataan saksi-saksi yang berkenaan.
"Saya juga telah mengarahkan pihak polis (di) Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang untuk menyerahkan semua fail yang disiasat di bawah Ordinan Dharurat 1969 kepada BPR," kata Gani.
Sebelum ini, Musa telah menafikan dakwaan itu dan menyerahkan kepada BPR untuk menyiasat.
Musa yang dijadualkan bersara pada 12 September tahun ini, telah dilanjutkan tempoh perkhidmatannya secara kontrak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
Abdullah pernah menyatakan bahawa lanjutan perkhidmatan itu bertujuan untuk membolehkan usaha Ketua Polis Negara bagi membanteras jenayah dan rasuah, diteruskan. |