Bekas Ketua Pengarah BPR tidak bersalah, kata Peguam Negara
Jul 27, 07 7:27pm
Bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Zulkifli Mat Noor tidak melakukan sebarang jenayah dalam bentuk amalan atau perlakuan mahupun penyalahgunaan kuasa, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini.

"Dalam proses penyiasatan, tiada unsur-unsur jenayah ditemui mahupun dalam bentuk amalan, perlakuan ataupun peninggalan Datuk Seri Zulkifli Mat Noor, mahupun penyalahgunaan kuasa.

"Namun demikian, hanya insiden tidak melaporkan kemalangan jalanraya yang melibatkan kenderaan jabatan telah memperlihatkan seolah-olah satu pelanggaran prosedur jabatan telah berlaku, akan tetapi Datuk Seri Zulkifli Mat Noor telah membuat keputusan tersebut semata-mata untuk untuk melindungi corak operasi/risikan yang dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di Putrajaya hari ini.

Zulkifli telah disiasat oleh BPR setelah Mohamad Ramli Abdul Manan, bekas pengarah BPR Sabah, awal tahun ini membuat aduan mendakwa Zulkifli, mengamalkan rasuah, terlibat dalam salahlaku seksual, penyelewengan serta salahguna kuasa.

Gani berkata dalam siasatan awal oleh Polis terdapat sebanyak 28 isu yang telah dikenal pasti.

Aduan terhadap Zulkifli

Gani berkata tohmahan yang dikenal pasti ekoran aduan tersebut ialah Zulkifli menggunakan kenderaan rasmi kerajaan melawat stesen minyak Mobil di Pagoh, Muar, Johor; seorang yang kaya, anak saudara yang bekerja di MISC menduduki rumah Zulkifli dan menjaga tiga kereta mewah jenis Mercedes-Benz, Toyota Camry dan Volvo; bekas Ketua Polis Daerah Segamat dan Zulkifli (semasa menjadi Ketua Polis Johor) meminta wang rasuah dari kontraktor iaitu Noor Hazin Mohd Zin semasa mendapat tender untuk membina kompleks Perumahan Polis IPD Segamat.

Tohmahan lain ialah Zulkifli mempunyai rumah kedai tiga pintu di Shah Alam; memiliki sebuah kondomunium di Sri Vista, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, tanah kurnia dari Sultan Pahang, saham Magnum Corporation atas nama Shafiah Mohamad (isteri Zulkifli), memiliki sebuah penthouse di Gold Coast Australia yang diduduki oleh anak Zulkifli, tiada tindakan diambil oleh Zulkifli mengenai maklumat berkaitan kegiatan rasuah oleh menteri dan ahli politik.

Tohmahan juga telah dilemparkan bahawa Zulkifli tidak membuat tindakan atas aduan mengenai Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (yang ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan) telah menerima rasuah sebanyak RM5 juta dari seorang yang hanya dikenali sebagai Tee Yam untuk membina bangunan bagi tujuan perjudian.

Zulkifli juga telah disiasat kerana tidak mengambil tindakan ke atas Datuk Marina Mahathir, yang dikatakan menyimpan wang tunai US$15 juta di Bank of Singapore atas nama Tengku Iman, dan pemberian kontrak kepada Marina untuk membina Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan memberi sebahagian saham kepada Zulkifli.

"Pada tahun 2004, Mohamad Ramli Abdul Manan telah menghantar sepucuk surat kepada Timbalan Ketua Pengarah BPR Datuk Mohamad Zawawi yang mengesyorkan agar aktiviti rasuah dan salahguna kuasa Zulkifli disiasat," kata Gani dalam kenyataan tersebut.

43 saksi

Gani juga berkata Zulkifli terlibat dalam kemalangan jalanraya pada Disember 2005 ketika memandu kereta Mercedes-Benz bernombor CBE 5216 kepunyaan jabatan tetapi pembaikan kerosakan kereta tersebut dibuat tanpa mengikut prosedur jabatan.

Tohmahan lain ialah tiada laporan polis dibuat atas kehilangan kereta jabatan jenis Honda Civic bernombor WJR 2830; pengarah risikan BPR telah membantu Zulkifli membeli sebuah kereta jenis Mercedes-Benz dari pihak Kastam; memiliki sebidang tanah di Alai, Melaka yang sepatutnya menjadi tapak ibu pejabat BPR; menyalahguna "SS Fund" untuk membeli tiket kapal terbang isterinya; terlibat dalam salahlaku seksual; Zulkifli dikatakan menjalin hubungan intim dengan seorang pegawai polis berbangsa Punjabi; memiliki rumah kedai di Bahau, Negeri Sembilan, memiliki stesen minyak Mobil di Pagoh, Muar, Johor; dan memiliki stesen minyak Shell di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.

Zulkifli juga dikatakan memiliki enam buah rumah di Pagoh, memiliki tanah dan chalet di Desaru, Kota Tinggi, memiliki tanah 12 ekar ladang kelapa sawit di Port Dickson dan menggunakan kereta jabatan Mercedes-Benz bernombor CBE 5216 sebagai kenderaan peribadi.

"Pada 17 April, 2007 Mohamad Ramli telah mengedarkan sepucuk surat kepada Ketua Polis Negara dengan menyatakan bahawa Zulkifli telah menutup beberapa kes rasuah yang melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berhubung dengan skandal Wisma Bandaraya dengan mendakwa Zulkifli telah menerima RM700,000 sebagai sogokan seperti dalam laporan polis yang dibuat oleh Datuk Dr Jefferey Kitingan pada 19 Mac 2007," kata Gani.

Peguam Negara berkata seramai 43 orang saksi telah ditemuduga termasuk pengadu, Mohamad Ramli, dalam penyiasatan itu.

Keterangan Mohamad Ramli

"Penyiasatan menunjukkan bahawa Mohamad Ramli hanya mengandaikan perkara-perkara seperti yang didakwanya terhadap Zulkifli. Mohamad Ramli tidak dapat menyokong dakwaannya dengan keterangan dalam bentuk dokumen.

"Mohamad Ramli tidak mempunyai maklumat sahih dan tidak pernah mengendali ataupun menguruskan perkara-perkara sepertimana yang didakwanya. Kesemua dakwaan diperolehi dari pihak ketiga yang tidak didedahkan kepada pasukan penyiasat. Dakwaan Mohamad Ramli tidak berasas dan diragui," kata Gani.

Daripada penyiasatan berhubung beberapa dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Zulkifli, beliau berkata saksi-saksi BPR menyatakan bahawa tiada berlaku perkara-perkara seperti yang didakwa oleh Mohamad Ramli.

Kenyataan mereka itu dibuat berdasarkan rekod-rekod yang tersimpan di BPR berhubung dengan pentadbiran, operasi dan kewangan.

"Ini menunjukkan Mohamad Ramli membuat andaian tanpa sebarang fakta yang kukuh atau keterangan," kata Gani.

Aduan Jeffrey Kitingan

Katanya dua penyiasatan salahlaku seksual yang sedia wujud sebelum ini iaitu pada 1997 telah disiasat dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dan kes tersebut telah tidak diambil tindakan lanjut oleh Timbalan Pendakwaraya kerana tiada keterangan yang mencukupi bagi membawa pertuduhan terhadap Zulkifli.

Bagi isu membeli kenderaan lelongan Kastam dengan nilai rendah daripada harga pasaran, perkara itu telah disiasat dan didapati pembelian adalah mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan di bawah Arahan
Perbendaharaan, kata Gani.

"Punca-punca kewangan Zulkifli telah disiasat dan pinjaman-pinjaman yang diberi kepada anak-anaknya untuk berniaga adalah hasil simpanan dari emolumen (elaun, gaji dan pelaburan ASB).

Penyiasatan juga menunjukkan Zulkifli menyimpan hampir 40 peratus dari pendapatannya dan ianya menunjukkan kewajaran akan kemampuan memperolehi simpanan sejumlah wang yang dipinjamkan kepada anak-anaknya.

"Zulkifli juga mengaku bahawa dia memberi pinjaman kepada anak-anaknya sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai seorang bapa untuk melihat kejayaan kehidupan anak-anaknya," kata Gani.

Peguam Negara juga tidak mendapati sebarang pelanggaran undang-undang seperti yang diadu oleh Jeffrey Kitingan dalam laporan polisnya itu."

Dalam laporan polis tersebut, terdapat 25 dakwaan yang mana 3 dakwaan berhubung dengan jenayah am yang disiasat oleh Polis IPK Sabah.

Manakala lain-lain dakwaan mengenai amalan rasuah disiasat oleh BPR Sabah. Siasatan oleh pihak polis telah dirujuk kepada Ketua Polis Sabah dan kes tersebut telahpun NFA (tiada tindakan lanjut).

"Penyiasatan menunjukkan tidak ada kelewatan berhubung dengan siasatan yang dibuat oleh BPR setelah aduan itu diterima. Selain itu, Zulkifli tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan untuk melengahkan siasatan tersebut.

"Siasatan juga tidak menunjukkan sebarang transaksi pemberian rasuah sebanyak RM700,000 kepada Zulkifli oleh Ketua Menteri Sabah," kata Gani.



 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner