Dua gabungan NGO Islam bantah Kenyataan Merdeka ASLI
Dua gabungan pertubuhan Islam di Malaysia membantah dan menolak Kenyataan Merdeka oleh Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS), Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) yang disokong oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan di negara ini yang didakwanya cenderung untuk merombak terma-terma penting kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum-kaum di Malaysia.
Dua gabungan pertubuhan Islam di Malaysia membantah dan menolak Kenyataan Merdeka oleh Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS), Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) yang disokong oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan di negara ini yang didakwanya cenderung untuk merombak terma-terma penting kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum-kaum di Malaysia.
Dalam satu kenyataan bersama, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan Jawatankuasa Penyelaras Gabungan Badan-badan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) mendakwa dokumen tersebut bertujuan untuk melaksanakan Agenda Malaysia Baru dengan mengemukakan lapan strategi teras.
"Antara lain, Kenyataan Merdeka itu menganjurkan hak kebebasan beragama secara mutlak tanpa mengambilkira peruntukan Perlembagaan serta undang-undang negeri dan persekutuan yang bertujuan mengawal penyebaran agama bukan Islam di kalangan masyarakat Islam serta menggariskan peraturan-peraturan tertentu mengenai pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia," kata mereka.
Mereka juga menyifatkan saranan Kenyataan Merdeka itu agar Majlis Raja-Raja Melayu mempertahankan hak rakyat Malaysia untuk memilih agama yang mereka sukai serta menghapuskan hukuman undang-undang terhadap individu yang melanggar undang-undang Islam, mempunyai maksud tersembunyi untuk menghalalkan amalan murtad di Malaysia.
"Adalah aneh untuk menyarankan Raja-Raja Melayu, yang mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan untuk memelihara kesucian agama Islam, supaya mempertahankan amalan yang melanggar syariat Islam," kata mereka lagi.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Pengerusi Penyelaras Pembela, Yusri Mohamad yang juga Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad (foto) dan Pengerusi Pengerusi ACCIN, Mohamed Said Mohamed Razi. Menurut mereka, Pembela dan ACCIN dianggotai oleh lebih 100 pertubuhan Islam di negara ini.
Pembela merupakan gabungan wakil-wakil NGO Islam yang prihatin dalam menangani pelbagai isu-isu berkaitan dengan kedudukan Islam di Malaysia. Sehingga ini, ia mempunyai NGO gabungan.
Perkhidmatan awam
Manakala ACCIN pula dianggotai oleh Abim, Al-Hidayah, Belia Perkim, GEPIMA, Perkhidmatan dan Informasi Mengenai Islam (IIS), Jamiyah, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Persatuan Al-Hunafa, Persatuan Darul Fitrah Malaysia, Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Pusat Penyelidikan dan Informasi Islam (RICOI), Perhimpunan Belia Islam Sedunia (WAMY)
Dalam hubungan ini, kata mereka, saranan Kenyataan Merdeka mengenai hak kebebasan beragama secara mutlak, bukan sahaja bertentangan dengan semangat kontrak sosial yang mempertahankan kedudukan istimewa Islam yang berada di bawah naungan Raja-Raja Melayu sejak zaman sebelum merdeka lagi, malah tidak mewakili pandangan majoriti masyarakat Islam di negara ini.
"Beberapa saranan dalam Kenyataan Merdeka mengenai usaha-usaha yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ketidakseimbangan antara kaum (inter-ethnic) dan dalaman kaum (intra-ethnic) adalah munasabah.
"Namun demikian strategi tertentu seperti pelaksanaan dasar diskriminasi positif yang memberikan layanan istimewa kepada pegawai-pegawai bukan bumiputera dalam perkhidmatan awam adalah tidak wajar," kata mereka.
Ini kerana dasar diskriminasi positif yang dilaksanakan untuk kaum bumiputera hanyalah di peringkat pengambilan ke jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam, dan bukannya ketika mereka sudah berada dalam perkhidmatan untuk tujuan kenaikan pangkat dan sebagainya, tambah mereka.
"Pelaksanaan dasar diskriminasi positif kepada pegawai-pegawai bukan bumiputera sepertimana yang disarankan dalam Kenyataan Merdeka tentunya akan menafikan hak munasabah pegawai-pegawai bumiputera yang sudah berada dalam perkhidmatan awam.
"Adalah tidak munasabah untuk menuntut pemberian "hak" yang baru kepada kaum bukan bumiputera, sedangkan pada masa yang sama kaum bumiputera diharapkan agar bersedia untuk melepaskan hak-hak istimewa mereka sepertimana yang telah termeterai dalam kontrak sosial yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin kaum sebelum merdeka dan termaktub dalam Perlembagaan," katanya lagi.
Kedudukan Bahasa Melayu
Hal ini, tegas mereka lagi, menunjukkan bahawa apa yang sedang dilakukan oleh CPPS-ASLI dan organisasi-organisasi yang menyokong Kenyataan Merdeka ialah perundingan semula kontrak sosial, bukannya penegasan semula kontrak sosial sebagaimana yang dicanang.
"Tanpa persetujuan semua kaum, Kenyataan Merdeka tidak wajar diangkat sebagai pernyataan yang mewakili hasrat seluruh warganegara Malaysia. Ia hanyalah pernyataan satu pihak.
"Di samping itu, "Agenda Malaysia Baru" yang terkandung dalam Kenyataan Merdeka juga gagal mempertegaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi negara, kedudukan agama Islam sebagai sebahagian daripada sistem perundangan dan pentadbiran negara, dan hak-hak masyarakat Islam untuk mendapatkan pengadilan menerusi sistem kehakiman Islam sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," kata mereka.
Pada prinsipnya, kata mereka, Pembela dan ACCIN mendokong usaha-usaha pengukuhan perpaduan nasional, memperkasa dayasaing negara di peringkat antarabangsa, mewujudkan ekonomi yang berinovatif, mengurangkan ketidakseimbangan pengagihan ekonomi, memperkasakan institusi-institusi demokrasi negara, melaksanakan reformasi pendidikan, menjamin kehidupan berkualiti dan menyokong usaha memerangi rasuah - yang turut disentuh oleh Kenyataan Merdeka itu.
Bagaimanapun, katanya, pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia tetap memandang dokumen tersebut, jika dilihat intipatinya, adalah satu percubaan untuk merombak kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh kaum-kaum di Malaysia, atas nama Agenda Malaysia Baru dan dengan mengambil kesempatan sentimen sambutan 50 tahun kemerdekaan negara.
"Kami mewakili pertubuhan-pertubuhan Islam dengan sebulat suara mengulangi penegasan mengenai peri pentingnya seluruh warganegara Malaysia menghormati kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh kaum-kaum di negara ini, dan menolak saranan-saranan dalam Kenyataan Merdeka yang bertujuan untuk merombak terma-terma penting Kontrak Sosial tersebut.
"Walaupun dokumen tersebut turut mengandungi beberapa saranan yang positif tetapi percampuran dengan pelbagai bacaan dan saranan yang meragukan menjadikan keseluruhan dokumen tersebut bermasalah, negatif dan wajar ditolak.
"Kami turut menyeru agar lebih banyak pertubuhan-pertubuhan Islam tampil menyokong kenyataan kami ini," tambah mereka.

