Hadi: Pembatalan saat akhir punca rusuhan
Tindakan polis membatalkan ceramah anjuran (Bersih) di saat akhir menjadi punca kepada keganasan yang berlaku di Batu Buruk, Kuala Terengganu malam Sabtu lalu, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Tindakan polis membatalkan ceramah anjuran (Bersih) di saat akhir menjadi punca kepada keganasan yang berlaku di Batu Buruk, Kuala Terengganu malam Sabtu lalu, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, PAS sebagai pengendali majlis ceramah itu, tidak mampu memberitahu orang ramai mengenai pembatalan tersebut.
Katanya, PAS cawangan Kuala Ibai telah membuat permohonan permit kepada pihak polis seminggu lebih awal dari yang disyaratkan, tetapi tidak mendapat jawapan.
"Polis hanya menjawab mengenai penolakan permohonan tersebut pada hari Khamis, tetapi PAS tidak boleh membuat rayuan kerana keesokannya iaitu Jumaat dan Sabtu merupakan cuti umum.
"Orang ramai menyangka majlis ceramah berjalan seperti biasa, kerana kami tidak dapat menghebahkan pembatalan tersebut.
"Mereka mula datang ke tempat ceramah tetapi dihalang anggota polis yang membuat sekatan, jauh dari tempat tersebut.
Tujuh cedera
"Kekecohan berlaku di tempat sekatan dan bukannya di tempat ceramah," katannya ketika ditemui di rumahnya di Rusila, Marang, semalam.
Tujuh orang tercedera dalam insiden tersebut, termasuk empat anggota polis dan dua ahli PAS yang terkena tembakan seorang anggota polis.
Hadi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, kejadian tersebut berlaku ketika penceramah PAS sedang berunding dengan tuan rumah setelah mengambil keputusan untuk membatalkan program tersebut.
Presiden PAS itu mendakwa, beliau mendapat maklumat bahawa pihak polis telah membuat provokasi kepada orang supaya menimbukan kekacauan pada malam tersebut.
"Anggota polis berpakaian preman yang memakai riben di lengan dan membuat provokasi di tengah-tengah orang ramai, dikesan oleh penyokong PAS.
"Ini menyebabkan anggota terbabit telah melepas tembakan rambang menggunakan peluru hidup dan terkena orang awam," katanya.
Badan penyiasat
Hadi mendakwa, menjelang tengah malam, ketika anggota polis dan orang ramai beredar meninggalkan kawasan kejadian, datang satu pasukan lain dengan membuat kacau dan merosakkan harta benda awam di kawasan sekitar.
Kemudian, dakwanya, datang orang yang membawa bendera (Malaysia) dan telah bertindak membakarnya.
Hadi mendakwa, walaupun ramai anggota polis berkawal di kawasan itu tetapi mereka tidak mengambil sebarang tindakan.
"Ini menimbulkan kesangsian dan hilang kepercayaan PAS kepada kredibiliti pasukan polis.
"PAS menggesa supaya badan penyiasat bebas di bawah Majlis Raja-raja Melayu dibentuk bagi menyiasat kejadian tersebut," katanya.

