Saman k'jaan: Bekas tahanan ISA dapat RM2.5 juta
Soon Li Tsin
Okt 18, 07
8:10pm
Bekas tahanan ISA, Abdul Malek Hussin, 51, hari ini menang dalam samannya terhadap kerajaan berhubung penangkapan dan tindakan membelasahnya pada 1998. Dia mendapat gantirugi RM2.5 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, dalam satu penghakiman bersejarah, memutuskan bahawa penangkapan Malek ketika kemuncak demonstrasi reformasi adalah tidak sah dan dia kemudiannya dibelasah semasa dalam tahanan.

Katanya, penangkapan dan penahanan mengikut Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan itu dibuat dengan niat jahat.

“Tujuan soalsiasat itu jelas untuk tujuan politik dan tidak ada kena mengena dengan kebimbangan tulen terhadap keselamatan negara," kata Hishamudin.

Abdul Malek ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - yang membenarkan penahanan tanpa bicara - pada 25 September 1998, selepas berucap di satu demonstrasi sebelumnya di Masjid Negara.

Ini diikuti dengan pemecatan dan penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu.

Abdul Malek ditahan di bawah ISA selama 57 hari sebelum dia dibebaskan tanpa sebarang tuduhan.

Beliau memfailkan saman sivil pada Mac 1999, dengan menamakan anggota cawangan khas, Borhan Daud, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dipukul hingga pengsan

Sebelum ini, Abdul Malek memberi keterangan bahawa beliau telah dibogelkan dalam bilik berhawa dingin, ditutup mata sewaktu disoalsiasat, dibelasah secara fizikal sehingga 60 kali, dipukul hingga pengsan, dipaksa minum air kencing serta salahlaku seksual.

Dalam keterangan itu juga, Abdul Malek berkata dia ternampak Rahim menumbuk dagunya ketika di bilik soalsiasat apabila penutup matanya terjatuh secara tidak sengaja.

Menurut Hishamudin lagi, keengganan pihak pendakwa mendakwa Abdul Malek kerana membuat dakwaan palsu terhadap Rahim, menunjukkan ada kebenaran dalam dakwaan tersebut.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan tidak membenarkan Abdul Malek menghubungi peguamnya adalah melanggar perlembagaan.

Ketika mengumumkan bayaran gantirugi, Hishamudin menganggap tingkahlaku Rahim itu sebagai memalukan dan merupakan satu contoh buruk kepada jabatan dan para anggotanya.

Katanya, pampasan itu diberikan sebagai menunjukkan rasa benci mahkamah terhadap perbuatan salahguna kuasa oleh pihak polis dan penggunaan ISA.

Di luar mahkamah, Abdul Malek disambut dengan tepuk gemuruh para penyokongnya termasuk Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, Yap Swee Seng dari Suaram dan Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor.

Isteri Abdul Malek - Faridah Ishak dan dua orang anaknya - turut hadir. Berita asal

 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner