Walaupun berjaya melepasi kawalan ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelicikan lima penyeludup dadah berjaya dikesan pihak berkuasa Jepun apabila semua mereka ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada Sabtu lalu.

Empat lelaki dan seorang wanita yang juga warganegara Malaysia dikesan cuba menyeludup kira-kira 5kg kokain bernilai ¥120 juta (RM3.1 juta) yang disembunyikan di bawah pelapik tapak kasut.

Mereka dikesan ketika pemeriksaan kastam sebaik tiba di lapangan terbang tersebut.

Pegawai kastam mula mengesyaki seorang daripada suspek selepas mendapati tapak kasutnya sangat tebal, lapor Fuji News Network.

Pemeriksaan mendapati ada kokain disembunyikan di bawah pelapik tapak kasut dua suspek, sekali gus mendorong pegawai mengenal pasti tiga lagi individu yang dipercayai melakukan perjalanan bersama mereka.

Agensi media Jepun melaporkan ketiga-tiga individu itu turut menyembunyikan kokain menggunakan kaedah sama.

TBS News DIG pula melaporkan suspek masing-masing membawa kira-kira 1kg kokain dengan setiap 500g disembunyikan di bawah satu pelapik kasut yang dipakai.

Seorang daripada lima suspek dilaporkan memberitahu, mereka ditawarkan upah RM8,000 melalui aplikasi pesanan Telegram untuk membawa dadah ke luar negara.

Dia juga dilaporkan diberi sepasang kasut untuk menyembunyikan dadah berkenaan.

Dalam perkembangan itu, NHK melaporkan, empat suspek mengakui dakwaan tersebut ketika disoal siasat, manakala seorang wanita berusia 25 tahun menafikannya.

Wanita itu mendakwa dia tidak mengetahui bahawa bungkusan yang dibawanya mengandungi kokain.

Media tempatan melaporkan Polis Metropolitan Tokyo sedang menyiasat sekiranya suspek direkrut oleh sindiket yang berpangkalan di Malaysia bagi kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa.