Perhimpunan Bersih: Zam kecam laporan Al Jazeera
Nov 10, 07 8:12pm
Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin mengecam Al Jazeera yang didakwanya membuat pertanyaan mengikut persepsi yang salah berhubung kejadian perhimpunan rakyat menuntut pilihanraya bersih dan adil hari ini.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan stesen televisyen satelit Al Jazeera bahawa polis telah bertindak keras terhadap mereka yang menyertai perhimpunan tersebut, demikian menurut Bernama.

Beliau berkata, wartawan Al Jazeera telah mempunyai persepsi sendiri sebelum datang ke Malaysia dan menambah: "Malaysia bukan Myanmar dan bukan Pakistan, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi."

Zainuddin berkata kebanyakan penonton di Malaysia ketawa melihat kelakuan dan aksi wartawan Al Jazeera yang cuba memberikan gambaran seolah-olah tunjuk perasaan itu begitu buruk dengan menjerit-jerit sehingga terasa kepada mereka ia bukan keadaan yang sebenarnya.

Beliau juga mengecam Al Jazeera kerana hanya mengambil wartawan yang diketahui pro-pembangkang untuk mendapatkan pandangan tetapi tidak di pihak kerajaan.

Tidak perlu

Sebaliknya, katanya Zam, polis telah cuba menyuraikan tunjuk perasaan dengan menyembur air kerana ia adalah perhimpunan haram.

Tetapi setelah mereka enggan, katanya, polis membenarkan kumpulan itu berarak ke Istana Negara untuk menyampaikan memorandum menuntut pilihanraya bersih.

Semasa ditemuramah secara langsung oleh stesen itu melalui panggilan telefon hari ini, Zam memberitahu stesen tersebut bahawa polis telah berjaya mengendalikan perhimpuan tersebut dengan baik.

Perhimpunan tersebut anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau dikenali sebagai "Bersih" yang dianjurkan oleh 26 badan bukan kerajaan dan disertai parti pembangkang untuk menyerahkan memorandum berhubung beberapa tuntutan mengenai proses pilihanraya di negara ini kepada Istana Negara.

Zainuddin bila ditanya kenapa Malaysia tidak membenarkan perhimpunan tersebut, berkata: "Tunjuk perasaan tidak perlu kerana pilihanraya tidak pernah gagal diadakan di Malaysia mengikut jadualnya."
 
Untuk penguna Maxis, UMobile, Digi , dapatkan berita sms
Dapatkan Mobilekini untuk membaca cerita penuh di telephone bimbit
Singkatan berita setiap hari
Email:
Bersamalah 2800+ kawan di kumpulan Facebook Malaysiakini
Ikuti berita Malaysiakini menerusi Twitter
Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner