Penulis dakwa diperalat dua jutawan
Bekas setiausaha akhbar kepada dua perdana menteri Malaysia mendakwa bahawa ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Vincent Tan yang memilik Kumpulan Berjaya, tidak mungkin mencapai kejayaan dalam perniagaannya tanpa bantuan beliau.
Bekas setiausaha akhbar kepada dua perdana menteri Malaysia mendakwa bahawa ahli perniagaan terkemuka, Tan Sri Vincent Tan yang memilik Kumpulan Berjaya, tidak mungkin mencapai kejayaan dalam perniagaannya tanpa bantuan beliau.
Ahmad Mustapha Hassan membuat dakwaan tersebut dalam bukunya yang bertajuk 'The
Unmaking of Malaysia'
yang dilancarkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam di Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Mustapha, 71, pernah menjadi setiausaha kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam bukunya itu, beliau juga mendakwa bahawa Vincent Tan dan ahli perniagaan Tan Sri T Ananda Krishnan "tidak mengotai janji mereka" kepadanya selepas membantu mereka menjayakan projek-projek mewah, sebahagian daripadanya ada kaitan dengan kerajaan.
Ahmad Mustapha berkata, beliau mengenali Tan pada tahun 1984 ketika menjadi pengurus besar agensi berita nasional Bernama, selepas beliau berhenti menjadi setiausaha akhbar Mahathir.
Beliau mendakwa, Tan (kiri) telah mendapatkan bantuannya berhubung cadangan untuk mengswastakan Sports Toto - satu daripada dua syarikat perjudian yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membiayai pelbagai aktiviti sukan. Ketika itu, kedudukan syarikat berkenaan tidak begitu baik.
"Saya memperkenalkan beliau kepada Mahathir semasa di Rome. Saya memberitahunya kita mesti mencari jalan untuk menunjukkan bahawa, apabila kita swasta Sports Toto, lebih banyak wang dapat diperuntukan untuk aktiviti sukan," kata Ahmad Mustapha.
Katanya, beliau juga telah menasihatkan Tan mengenai kandungan dan pendekatan bagi cadangan tersebut.
"Selepas semuanya berjalan baik, (Tan) menemui saya di Hotel Ming Court dan menunjukkan kepada saya satu senarai - orang ini dan orang itu (menerima) berapa peratus saham.
"Nama saya pun ada - saya tidak minta (saham) tetapi jika (beliau mahu) beri (pada saya) ok - 15 peratus (diperuntukkan kepada saya)," katanya.
Menurutnya, majoriti nama dalam senarai tersebut, adalah mereka dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
"Tetapi apa yang telah berlaku pada saham saya? (Akhirnya) saya (tidak dapat) apa-apa," kata Ahmad Mustapha.
Ditanya sama ada wujud perjanjian mengenai pemberian saham tersebut, beliau menjawab: "Antara kawan anda biasanya tidak bercakap sedemikian. Kita sepatutnya bersama, ia seharusnya ada satu bentuk persefahaman bahawa kita adalah rakan perniagaan.
"Apa juga yang kita dapat (hendaklah dikongsi). Tetapi bagi saya, beliau (Tan) bukanlah rakan perniagaan, beliau hanya memperalatkan (saya)," katanya.
'Rugi RM7.5 juta'
Ahmad Mustapha juga berkata beliau tidak memperolehi saham bernilai RM7.5 juta, yang didakwanya, telah dijanjikan oleh Ananda di sekitar tahun 1982 selepas membantunya menguasai Inchcape Malaysia.
Inchcape adalah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan kenderaan dan merupakan sebuah syarikat milik British. Peranan Ahmad Mustapha adalah membantu Ananda menjadinya sebuah 'syarikat Malaysia'.
"Saya telah melakukan apa yang sepatutnya saya lakukan untuk menjayakan usaha tersebut. Saya kenal kebanyakan personaliti kerajaan...saya hanya perlu meyakinkan mereka mengenai pentingnya menstruktur semula syarikat British itu untuk kebaikan Malaysia," tulis Ahmad Mustapha dalam bukunya itu.
Katanya, beliau kemudiannya menemui Ananda (kiri) berhubung perkara tersebut, dan mendakwa beliau akhirnya hanya ditawarkan RM165,000 melalui seorang orang tengah.
"RM165,000 untuk apa? Saya menjangka memperolehi 2.5 juta saham yang berharga RM3 sesaham," katanya sewaktu temubual dengan Malaysiakini.
Beliau kemudiannya mendapatkan khidmat peguam Gopal Sri Ram - yang sekarang menjadi Hakim Mahkamah Rayuan - untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ananda, selepas beliau gagal menjawab surat tuntutan untuk sejumlah RM7.5 juta, yang sepatutnya dibayar kepada Ahmad Mustapha.
"Kita menyediakan satu afidavit tetapi kemudiannya Sri Ram (kanan) memberitahu saya 'Maaf, mahkamah tidak mahu mendaftarkan afidavit anda. Mahathir telah menghubungi saya meminta supaya 'menarik balik kes anda terhadap Ananda Krishnan'.
"Saya tanya 'mengapa'?' dan beliau (Mahathir) berkata, saya telah menggunakan namanya (Mahathir) - tetapi saya tidak pernah berbuat demikian."
Salinan surat dan afidavit tersebut turut dimuatkan dalam bukunya itu.
Ditanya sama beliau merasakan telah 'diperalatkan' oleh dua ahli perniagaan tersebut, beliau menjawab 'ya' sambil menambah beliau tidak bimbang dengan dakwaannya dalam buku tersebut boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil terhadapnya.
"Saya tidak boleh bawa mereka ke mahkamah, jadi biarlah mereka yang bawa saya ke mahkamah. Saya tahu Ananda Krishnan tidak mahu ke mahkamah, begitu juga Vincent Tan (kerana) saya boleh menyoal mereka di sana," katanya. Berita asal

