Polis sepatutnya memberi permit kepada Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) untuk mengadakan perhimpunan Ahadi ini, kata seorang ahli Parlimen pembangkang hari ini.

Dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen, M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) berkata, kerajaan mesti menghormati hak dalam perlembagan untuk mengadakan perhimpunan aman.

Isnin lalu, polis menolak permohonan untuk mendapatkan permit tersebut. Ketua Polis Cheras, ACP Ahmad Amir Mohd Hashim menjelaskan bahawa ia ditolak kerana permohonan itu dibuat oleh seorang individu dan bukan oleh pertubuhan tersebut.

Di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967, sebarang permohonan untuk mendapatkan permit bagi mengadakan perhimpunan di tempat awam mesti dibuat oleh sesebuah pertubuhan atau permohonan bersama oleh tiga orang individu.

Polis juga mempersoalkan kemampuan permohon untuk mengawal orang ramai dan bimbang perhimpunan tersebut, yang akan diadakan di luar bangunan Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, akan mengganggu lalulintas.

'Gangguan polis'

Sementara itu, Kulasegaran berkata, ia merupakan hak demokrasi rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan dan keprihatinan mereka secara aman.

"Hak asasi manusia dan hak politik sivil yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak bermakna apa-apa kepada polis sepertimana yang dilihat dalam tindakan polis menyerbu pejabat dua peguam Hindraf," katanya.

Beliau berkata, peguam P Uthayakumar dan adiknya Waythamoorthy, aktif dalam kempen hak awam dan dalam mempertahankan kebebasan bersuara.

Oleh itu, tegasnya, tindakan menyerbu pejabat mereka adalah satu contoh jelas mengenai gangguan pihak polis.

"Suhakam telah berulangkali menyatakan bahawa perhimpunan aman tidak memerlukan permit polis. Namun, mereka mahu pihak polis dimaklumkan kerana mereka (polis) bertanggungjawab menjaga lalulintas," katanya.

"Amaran Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharom kepada kaum India supaya jangan menyertai perhimpunan tersebut juga menunjukkan satu lagi contoh bagaimana pihak berkuasa sering melanggar kebebasan asas rakyat Malaysia," tambahnya.

Pihak akhbar hari ini memetik timbalan menteri berkenaan sebagai berkata perhimpunan tersebut adalah haram dan melarang orang ramai menghadirinya.

Perhimpunan tersebut dijangka menarik kira-kira 10,000 orang untuk menyerahkan petisyen kepada Ratu Elizabeth ll bagi menyokong saman terhadap kerajaan British kerana membawa rakyat India ke Malaysia sebagai buruh dan mengeksploitasi mereka selama 150 tahun.

Mereka menuntut AS$4 trillion (RM14 trillion) - atau AS$2 juta bagi setiap orang India yang tinggal di Malaysia.