PAS-Umno bincang isu Melayu-Islam
PAS hari ini mengesahkan bahawa parti pembangkang itu sering mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Umno mengenai dengan isu-isu kepentingan Melayu-Islam.
PAS hari ini mengesahkan bahawa parti pembangkang itu sering mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Umno mengenai dengan isu-isu kepentingan Melayu-Islam.
Ketika mengesahkan perkara itu hari ini, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak itu mula diadakan sejak awal tahun ini.
Beliau memberitahu Malaysiakini demikian ketika diminta mengulas desas-desus yang mengadakan wujud perbincangan PAS-Umno sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun, Nasharudin (
foto
) menafikan dakwaan bahawa perbincangan tersebut ada kaitan dengan usaha untuk menubuhkan kerajaan campuran antara kedua-dua parti Melayu itu.
Ketika ditemui di pejabat agung PAS di ibunegara hari ini, beliau sebaliknya berkata perbincangan yang diadakan adalah berkaitan dengan orang Melayu yang melibatkan kepentingan kedua belah pihak.
Nasharudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada perbincangan tersebut telah menghasil keputusan bersama dan telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
Beliau juga enggan memberitahu pemimpin-pemimpin Umno yang terbabit dalam perbincangan tersebut.
"Kita selalu bertemu dan berbincang," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui pejabat agung PAS di ibunegara hari ini.
Penjelasan Nasharudin
Sementara itu, ketika dihubungi kemudiannya, Nasharudin berkata, wartawan Malaysiakini telah tersalah memetik maksud percakapannya mengenai perkara tersebut.
Sehubungan itu, beliau menafikan bahawa wujud satu perbincangan antara Umno dan PAS mengenai isu-isu yang membabitkan kepentingan orang Melayu.
Sebaliknya, jelas beliau, apa yang beliau maksudkan ialah perjumpaan biasa antara pemimpin PAS dan pemimpin Umno di mana mereka berbincang secara umum mengenai isu-isu semasa.
"Ahli-ahli Parlimen (PAS dan Umno) berjumpa di lobi Parlimen, di kalangan pemimpin, jumpa dekat lapangan terbang, sewaktu dalam penerbangan dan bincang apa yang PAS boleh sumbang sebagai pembangkang...
"Saya tidak sebut langsung tentang kerajaan campuran... tidak ada langsung," katanya.

