Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini menggugurkan tuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis, terhadap kesemua 31 individu - yang dikenali sebagai Hindraf 31 - yang didakwa berhimpun secara haram di kuil Batu Caves pada awal pagi 25 November lalu.
Mereka sebelum ini dituduh menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis dalam insiden berkenaan.
Abdul Gani juga menarik balik semua tuduhan terhadap enam orang - lima penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan seorang penuntut maktab perguruan - manakala baki 25 orang lagi mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan khianat dan menyertai perhimpunan haram.
Enam orang yang dilepas dan dbebaskan daripada kesemua pertuduhan ialah L Thiyagarajan, 31; K Thinagaranpillay, 23: A Vasantarao, 19; S Ramesh Kumar, 22; S Mugilan Dever, 20, dan G Suman, 20.
Daripada baki 25 tertuduh, 16 orang menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kerosakan tujuh buah kereta dan dua pintu pagar kuil itu mengikut Seksyen 149/440 Kanun Keseksaan.
Lapan orang pula menukar pengakuan kepada bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu menyebabkan kerosakan tujuh buah kereta dan dua pintu pagar kuil itu dan mengikut Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967 iaitu dijumpai dalam perhimpunan haram terbabit.
Sementara seorang tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tuduhan pilihan menunjukkan kekerasan jenayah dengan niat untuk menakutkan pegawai polis semasa perhimpunan haram itu.
Mahkamah Sesyen Shah Alam, Nursinah Adzmi membenarkan mereka masing-masing diikatjamin RM500 dengan seorang penjamin, sehingga beliau menjatuhkan hukuman pada 27 Disember depan.
Ketika diminta komennya mengenai keputusan menggugurkan tuduhan cubaan membunuh itu, Abdul Gani berkata adalah sukar untuk menentukan secara khusus siapakah yang membaling bata yang mencederakan anggota polis, Dadi Abdul Rani.
Menurutnya, kesemua tertuduh juga telah menulis kepadanya bahawa mereka bukan penyokong Hindraf yang menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur, dan berjanji tidak akan menyertai perhimpunan haram lagi.
Kira-kira 30,000 orang telah menyertai perhimpunan anjuran Hindraf itu. Polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan mereka.
Keluarga gembira
Ahli keluarga kesemua tertuduh berada di Mahkamah Tinggi Shah Alam seawal jam 9 pagi untuk mendengar keputusan prosiding semakan ikatjamin yang telah ditangguhkan Khamis lalu.
Abdul Gani memberitahu Hakim Datuk Zaharah Ibrahim bahawa peguam tertuduh telah memutuskan untuk meneruskan prosiding tersebut, dan perkara kini balik semula ke Mahkamah Sesyen.
Kira-kira 150 orang memenuhi dewan Mahkamah Sesyen Hakim Azimah Omar dan menunggu kira-kira sejam sebelum dimaklumkan bahawa hakim berkenaan bercuti.
Ia kemudiannya dipindahkan ke mahkamah Nursinah. Kesesakan orang itu mengakibatkan prosiding terganggu manakala anggota polis berusaha keras untuk menenangkan keadaan.
Ahli keluarga tertuduh bersesak-sesak untuk melihatkan kesemua tertuduh di bawah ke dalam bilik mahkamah. Saudara mara, yang kelihatan menangis, sempat memeluk sesetengah daripada tertuduh.
Apabila mahkamah ditangguhkan, orang ramai bersorak apabila kesemua 31 tertuduh dibebaskan. Ramai yang kelihatan mengucapkan terima kasih kepada peguam, GK Ganesan.
Ganesan (kanan) memberitahu Malaysiakini bahawa beliau gembira dengan keputusan peguam negara itu.
"Peguam Negara telah memperlihatkan keprihatinnya dan memahami keadaan. Ibu bapa tertuduh begitu gembira kerana tuduhan telah ditarik balik," katanya.
Beliau juga mengesahkan telah membuat representasi kepada peguam negara bagi pihak para pelanggannya Khamis lalu, supaya tuduhan cubaan membunuh itu ditarik balik.
“Saya telah menulis kepada peguam negara, menyatakan pelanggan supaya telah benar-benar menyesal dengan apa yang telah berlaku. Kesemua mereka mahu balik bekerja dan kembali ke pangkuan keluarga," tambahnya.
Seorang lagi peguam tertuduh, A Sivanesan (kiri), membidaskan MIC kerana mahu mendapat nama berhubung pengguguran tuduhan cubaan membunuh tersebut.
"(Pemimpin MIC, Datuk Seri S) Samy Vellu menimbulkan kekeliruan apabila membuat kenyataan seumpama itu. Representasi dibuat oleh peguam, bukan MIC," katanya.
S Ramash Kumar, 22, salah seorang pelajar yang dibebaskan itu, menyifatkan penahananya di penjara Sungai Buloh sebagai 'neraka'.
“Layanannya buruk, makanannya buruk. Saya ingin mengucapkan terima kasih semua kaum India yang telah memberi sokongan," katanya pelajar tahun pertama kejuruteraan di Universiti Industri Selangor itu.
Vasanta Rao, pelajar yang berusia 19 sebuah maktab perguruan, adalah antara enam orang yang dibebaskan tanpa syarat.
"Saya ucap terima kasih kepada kerajaan. saya hanya pergi ke kuil tersebut... untuk sembahyang pada hari berkenaan dan ditangkap. Saya begitu gembira kerana dibebaskan," katanye kepada pemberita.
PM minta AG gugur tuduhan
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini menggesa Abdul Gani supaya menggugurkan tuduhan cubaan membunuh terhadap tertuduh, selepas rayuan dibuat oleh anggota keluarga mereka.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (kanan), yang turut hadir di mahkamah hari ini, menggesa supaya semua tuduhan ditarik balik.
"Walaupun saya mengalu-alukan pengguguran tuduhan cubaan membunuh terhadap 31 tertuduh, tetapi saya kecewa kerana peguam negara tidak menarik balik semua tuduhan terhadap 26 yang lain," katanya kepada AFP.
Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri dilaporkan berkata beliau bersimpati dengan 31 orang yang didakwa itu dan percaya mereka dipesongkan oleh penganjur perhimpunan pada 25 November lalu.
Perdana Menteri dilaporkan berkata beliau dimaklumkan bahawa mereka yang ditahan itu juga menolak kumpulan yang menggelarkan diri mereka Hindraf dan tidak akan menyertai sebarang aktiviti yang dijalankan kumpulan itu pada masa depan.
Abdul Gani berkata, hampir kesemua 31 tertuduh telah mengemukakan afidavit yang menyatakan mereka tidak menyokong Hindraf dan ramai yang berjanji tidak akan lagi menyertai perhimpunan haram pada masa akan datang. Berita asal