Sejak sembilan tahun yang lalu, penduduk di Ampang, Selangor, tidak jemu-jemu mendesak supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka dari Umno digantikan.

Pada 2003, mereka turut menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendesak supaya Barisan Nasional (BN) menggugurkan Adun tersebut dalam pilihanraya umum 2004.

Bagaimanapun, Datuk Mad Aris Mad Yusof dipilih sekali lagi bertanding dan memenangi kerusi DUN Chempaka. Ini adalah penggal keempat beliau menjadi Adun.

Mad Aris (kanan) pertama kali bertanding dan menang kerusi Pandan pada tahun 1990. Beliau berjaya mengekalkan kerusi tersebut dua dua penggal seterusnya.

Dalam pilihanraya lalu, Pandan dinaikkan taraf menjadi kawasan Parlimen dan Mad Aris diletak bertanding di DUN baru - Cempaka - juga dalam Parlimen Pandan.

Penduduk di situ tidak puashati kerana Mad Aris didakawa terbabit dalam beberapa skandal tanah, termasuk dakwaan pajakan tanah kerajaan di Ampang untuk tujuan komersial kepada kroninya.

Mad Aris bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. Malaysiakini akan menyiarkan komen beliau dalam bahagian akhir siri ini.

‘Tidak layak’

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Taman Nirwana Fasa 1 dan 2, M Thomas memberitahu Malaysiakini bahawa penduduk mula kecewa dengan Mad Aris selepas pilihanraya umum tahun 1999.

Sejak itu, katanya, persatuan-persatuan penduduk di kawasan tersebut telah membawa perkara itu ke pengetahuan kerajaan negeri dan pucuk kepimpinan BN. Berita asal

Bagaimanapun, kata Thomas, 52, tiada tindakan diambil dan penduduk tiada pilihan, kecuali menghantar satu memorandum bersama kepada Sultan Selangor, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Abdullah sebelum pilihanraya tahun 2004, mendesak mereka supaya tidak lagi memilih Mad Aris sebagai calon.

Memorandum tersebut disokong oleh enam persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Parlimen Pandan.

Mereka mendakwa menjadi penyokong BN dan difahamkan sesetengah daripada kumpulan tersebut diketuai oleh pemimpin akar umbi Umno di kawasan terbabit.

"Mad Aris tidak layak dicalon lagi kerana kegagalannya untuk menjalankan tugas dan tanggungjawabnya secara berkesan sebagai wakil rakyat Pandan sejak tiga penggal lalu," kata memorandum tersebut.

"Kata sepakat ini dicapai oleh kami, yang merupakan masyarakat pengundi yang selama memberi sokongan kepada BN. Kami tidak mahu sokongan (untuk BN) terjejas hanya kerana calon BN yang tidak komited dan tidak berwibawa," tambahnya.

Menurut memorandum tersebut dan beberapa penduduk di situ, Mad Aris, yang juga menjadi ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sejak 1992, didakwa terbabit dalam sekurang-kurangnya lapan kes skandal memajak tanah kerajaan.

Penduduk mengesyaki beliau telah menyalahgunakan kuasanya sebagai wakil rakyat dan ahli MPAJ untuk mendapatkan tanah simpanan kerajaan di Ampang untuk tujuan komersial.

Ini termasuk kawasan hijau, kawasan simpanan untuk tapak sekolah, taliair dan saliran, kawasan simpanan jalan, zon pemampan dan tanah kosong. Kawasan terbabit didakwa telah dipajakkan kepada kroni-kroninya yang kemudiannya memajaknya semula kepada syarikat-syarikat pada kadar sewa yang tinggi.

Malaysiakini akan menyiarkan semua dakwaan tersebut dalam bahagian kedua laporan ini esok.

Gayahidup mewah

Thomas berkata, gayahidup mewah dan banglo mewah milik Mad Aris di Taman Ampang Utama tidak mencermin pendapatannya sebagai seorang wakil rakyat.

"Ini wakil rakyat yang berminda komersial dan kami tidak perlukan beliau. Mungkin parti menyokongnya tetapi penduduk di sini tidak mempunyai kepercayaan kepadanya. Beliau jarang sekali menemui pengundi," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemuda Kemajuan Kampung Pandan, Isa Mahadi, 37, mendakwa, selama empat penggal menjadi wakil rakyat, Mad Aris tidak berbuat apa-apa untuk memajukan Kampung Pandan, yang majoriti penduduk orang Melayu.

"Pada masa lalu, Kampung Pandan menjadi 'kampung contoh'. Tetapi sekarang ia menjadi 'kampung gelap'. Aktiviti mati dan jawatankuasa kampung dikuasai oleh orang politik," katanya.

"Jika Mad Aris tidak diganti, penduduk akan mengundi pembangkang," katanya.

Malaysiakini juga difahamkan, Julai lalu kain rentang pernah dipasang untuk menyatakan kekecewaan terhadap Mad Aris.

Kain rentang anti-Mad Aris, yang ditulis dalam bahasa Melayu, dipasang di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Chempaka, tetapi semuanya dibuang dalam tempoh beberapa jam sahaja.