Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DEB punca Melayu tolak BN
Diterbitkan:  Mar 20, 2008 3:38 PM
Dikemaskini: 12:52 PM

Seorang pemimpin veteran MCA berkata keputusan pilihanraya umum 8 Mac lalu menunjukkan orang Melayu menyahut seruan reformasi dan menyedari Dasar Ekonomi Baru (DEB) menjadi punca utama kronisme dan rasuah.

wong sai hou Ketua MCA PJ Utara, Dr Wong Sai Hou berkata, keputusan kali ini juga menunjukkan penyokong Barisan Nasional (BN) semakin kehilangan kepercayaan terhadap pemimpin parti masing-masing.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat kemenangan besar pada 2004 tetapi tidak menunaikan janjinya untuk membersihkan pertadbiran kerajaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, ia diburukkan lagi dengan kedudukan MCA, Gerakan dan MIC yang menjadi makin tidak penting, dengan Umno mendominasi BN.

Dalam pilihanraya umum kali ini juga, katanya, orang Melayu menyahut seruan reformasi menyedari bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) menjadi punca utama kronisme dan rasuah.

Supaya kekal relevan, katanya, BN mesti menangani semua isu-isu yang dibangkitkan sewaktu kempen pilihanraya umum lalu.

Wong pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kg Tunku selama dua penggal.

Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum kali ini, beliau telah digugurkan dan digantikan oleh muka baru dari MCA, Sheah Kok Fah.

Sheah kalah kepada calon DAP, DAP's Lau Weng San dengan majoriti 7,977 undi.

Kematangan politik

Wong juga menyifatkan keputusan pilihanraya umum 8 Mac lalu yang menyaksikan BN kalah teruk, dengan "jelas menunjukkan bahawa rakyat telah mencapai kematangan politik yang sangat tinggi".

"Untuk pertamakalinya dalam tempoh 51 tahun, kita melihat pemilih Cina mengundi calon-calon DAP dan pemilih Melayu mengundi calon DAP," katanya.

Namun begitu, katanya, parti-parti komponen BN - Umno, MCA, Gerakan dan MIC masih terus meneruskan mengamalkan garis politik perkauman.

Ini, tegas Wong, jelas menunjukkan bahawa mereka masih belum sedar apakah punca kekalahan mereka dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

"Jika masih terus memimpin parti masing-masing mengikut garis kaum seperi sekarang, memainkan sensitiviti emosi, lima tahun lagi, BN mungkin beralih menjadi sebuah parti pembangkang," katanya.

Dalam pilihanraraya umum tersebut, BN gagal mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat apabila hanya memenangi 140 daripada 222 kerusi Parlimen.

BN juga turut kehilangan empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor kepada barisan pembangkang.

Manakala PAS pula berjaya mengekalkan penguasaannya di Kelantan, dengan tambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

ADS