Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Kedah enggan baiki pagar rumah
Diterbitkan:  Mar 25, 2008 9:39 PM
Dikemaskini: 3:26 PM

Menteri Besar Kedah Azizan Abdul Razak enggan membaiki pagar rumah dengan menggunakan wang kerajaan negeri walaupun telah dinasihati oleh polis atas alasan keselamatan.

Menurut pegawainya Mohd Helmi Khalid, Azizan menolak pelawaan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan polis untuk berbuat demikian kerana "tidak mahu menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi."

"Kata MB, kalau untuk kediaman peribadi, beliau akan membiayainya menggunakan duit sendiri dan bukan peruntukan kerajaan negeri," Helmi dipetik sebagai berkata kepada Harakahdaily.net hari ini.

Laporan itu menyebut, wakil rakyat PAS itu tidak tinggal di kediaman rasmi menteri besar Kedah di Sri Mentaloon, sebaliknya terus tinggal di rumah lamanya di Jalan Sultanah, Alor Setar.

"Kediaman rasmi itu kini dijadikan sebagai rumah tetamu," katanya.

Langkah yang sama pernah diambil presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu Terengganu jatuh ke tangan parti itu pada 1999.

Abdul Hadi menetap di rumahnya di kampung Rusila, Marang sewaktu menjadi menteri besar Terengganu selama lima tahun.

Mursyidul am PAS, yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tinggal di rumah asalnya di kampung Pulau Melaka, Kota Bharu.

azizan abdul razak Sementara itu Bernama pula melaporkan, Kedah yang kini ditadbir pakatan PAS-PKR akan menjadikan Kelantan sebagai model pentadbiran.

Bercakap kepada media sewaktu lawatannya ke Kelantan, Azizan berkata:

"Kami (Kedah) tidak boleh terus menutup premis judi secara segera seperti yang Kelantan buat dan begitu juga masalah penjualan arak.

"Kedah tidak macam Kelantan kerana tukar kerajaan sudah perkara biasa di sini (Kelantan) tetapi di Kedah ini kali pertama PAS memerintah dan kerana sokongan bukan Islam juga PAS dapat menumpaskan BN."

Beliau cuma berjanji kerajaan PAS di Kedah bersedia memperkenalkan dasar baru yang tidak dibuat era pentadbiran BN tetapi boleh diterima semua pihak.

ADS