Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perhimpunan Anwar tiada permit
Diterbitkan:  Apr 13, 2008 9:36 PM
Dikemaskini: 2:49 PM

Ketua polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata PKR tidak memohon permit untuk perhimpunan 'Black 14' di Kelab Sultan Sulaiman esok malam.

Parti itu, tambahnya, hanya menghantar surat pemberitahuan kepada polis mengenai majlis makan malam pemimpin PKR bersama rakyat.

anwar ibrahim vk lingam hearing pc 290108 talking Beliau berkata polis menerima surat mengenai majlis makan malam itu bertarikh 8 April lalu yang ditandatangani Yahya Shahri, iaitu pegawai khas kepada menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Surat itu menyatakan hasrat PKR untuk mengadakan jamuan makan malam bersama wakil rakyat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada pukul 8 malam esok dan akan dihadiri oleh penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada pemberita hari ini, lapor Bernama .

Muhammad Sabtu berkata walaupun majlis makan malam itu di buat di tempat persendirian, polis tetap akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengadakan rondaan dan kawalan lalu lintas di sekitar kawasan itu.

"Sekiranya mereka hanya menggunakan dewan itu dan tidak mengganggu kawasan sekeliling serta tidak menarik perhatian umum (dengan menggunakan pembesar suara), kami tidak akan menghalang tapi jika sebaliknya kami akan ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Perhimpunan sempena 'Black 14' dan pidato perdana Anwar itu dijangka disertai lebih 10,000 penyokongnya.

bersih rally 271207 02 'Black 14, atau pernah disebut 'Gelita 14', disambut setiap tahun sebelum ini bersempena tarikh Anwar dijatuhkan hukuman bagi kes pertama pada 1999.

Sambutan ini pada tahun-tahun awal 2000-an biasanya bersifat demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur anjuran aktivis Gerakan Reformasi dan penyokong PKR.

Perhimpunan esok diberikan tema "Menghitung Masa dari Black 14 ke Arah Kemenangan Rakyat" dianjurkan dalam situasi berbeza, khususnya selepas kejayaan besar PKR dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum 8 Mac.

Ia disambut bagi menandakan berakhirnya larangan aktif berpolitik selama lima tahun yang dikenakan terhadap Anwar - dan kemungkinan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan Persekutuan jika mendapat 30 wakil rakyat BN yang berminat melompat parti.

Larangan itu dikenakan selepas beliau disabitkan hukuman terhadap tuduhan salah guna kuasa sewaktu menjadi timbalan perdana menteri pada tanggal itu tahun 1999.

ADS