Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tubuh s'jaya siasat kekalahan Umno
Diterbitkan:  Apr 23, 2008 3:50 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Umno perlu menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat sebab-sebab merosotnya sokongan terhadap Umno sehingga kalah besar dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, kata ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Di samping itu, katanya, Umno yang menjadi teras Barisan Nasional (BN), juga perlu 'berubah' dalam cara ia beroperasi.

rais yatim 03 "Jika anda boleh menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk hakim, dan kini mahu membentuk suruhanjaya anti rasuah, mengapa tidak boleh dibentuk suruhanjaya untuk Umno?," kata Rais sambil menambah, Umno perlu terus melangkah ke depan.

"Saya selalu kata sistem kuota mesti dihapuskan. Kewujudan terlalu banyak rangkaian pemimpin dalam Umno di peringkat negeri harus juga disemak, agar kita tidak terpaksa melayani kehendak terlalu ramai bos bila pilihanaya diadakan," katanya dalam wawancara dengan Bernama.

Sistem kuota tersebut mensyaratkan calon bagi jawatan presiden memerlukan 30 peratus pencalonan, timbalan presiden (20%), naib presiden (10%) dan ahli MT (5%) dari Umno bahagian.

Menuding jari

"Ini saya fikir sukar diterima oleh sesetengah pihak, kita mesti lahirkan apa yang kita percaya. Tapi, saya tidak menyalahkan sesiapa, sistemnya mesti adil," kata beliau.

Diminta mengulas desakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur sebagai perdana penteri dan presiden Umno dan menerima tanggungjawab atas prestasi merosot BN dalam pilihanraya umum itu, Rais berkata ini bukan masa untuk berbalah tetapi untuk bekerja.

"Ini masa untuk memaaf dan melupakan (yang lalu). Setiap orang punya suara hati untuk dilaksana dan diperkatakan dengan lantang.

"Saya fikir kini masanya bagi semua peringkat kepimpinan menerima dan mencintai Malaysia dan membolehkan proses kerja terlaksana," katanya.

Rais berkata beliau tidak menuding jari kepada sesiapa atas kekalahan itu, tetapi rakyat Malaysia "memang suka menyalahkan orang lain".

Dalam pilihanraya umum lalu, BN kehilangan empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - kepada barisan pembangkang - PKR, DAP dan PAS yang kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

BN kembali memerintah di peringkat pusat apabila memenangi 140 kerusi parlimen tetapi gagal mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

ADS