Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selepas Makkal Osai, bebaskan 5 Hindraf
Diterbitkan:  Apr 24, 2008 10:12 PM
Dikemaskini: 9:16 PM

Syukurlah lesen penerbitan Makkal Osai dihidupkan kembali, kalau tidak semua janji reformasi perdana menteri akan musnah, kata tokoh utama DAP Lim Kit Siang hari ini.

Mengulas langkah mendadak dan luar jangka Kementerian Dalam Negeri petang tadi, ahli parlimen Ipoh Timur berkata Datuk Seri Syed Hamid Albar harus mengambil iktibar daripada insiden penutupan akhbar itu minggu lalu dan tidak mengulang kesilapan tersebut gara-gara mengekor membuta-tuli "arahan Little Napoleon dalam birokrasi".

"Sekarang, tugas Syed Hamid untuk mengarahkan pembebasan segera dan tanpa syarat lima pemimpin Badan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) daripada tahanan di kem Kamunting," katanya.

"Syed Hamid tidak boleh lagi melepaskan beban tanggungjawabnya kepada pegawai kerajaan atas kelanjutan penahanan 5 Hindraf kerana beliau akhirnya memikul tanggungjawab penuh atas keengganan kerajaan mendengar suara orang ramai dalam tsunami politik 8 Mac.

"Kaum India mempunyai rungutan sah berhubung peminggiran berpanjangan hak-hak kewarganegaraan mereka di negara ini, dan 5 Hindraf seharusnya diberikan anugerah dan tidak lagi terkurung semata-mata akibat membangkitkan untung nasib kaum mereka kepada perhatian kerajaan dan negara."

Beliau juga mempertikaikan kenyataan anggota Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) Datuk N Siva Subramaniam yang menyatakan pihak kerajaan tidak mengabaikan rawatan kesihatan terhadap pemimpin Hindraf dan peguam P Uthayakumar.

"Apa yang paling memeranjatkan Siva hanya bertemu wakil-wakil daripada beberapa agensi kerajaan termasuk hospital Taiping, polis dan pegawai pusat tahanan Kamunting tetapi tidak (berjumpa sendiri) Uthayakumar dan sangat tidak wajar beliau (Siva) merumuskan (sedemikian) semata-mata berdasarkan pandangan sebelah pihak."

ADS