Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz: Cara Karpal boleh dianggap derhaka
Diterbitkan:  May 10, 2008 11:20 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tindakan pengerusi DAP Karpal Singh mempertikaikan kuasa Sultan Perak berhubung pertukaran pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) Datuk Jamry Sury secara terbuka adalah tidak betul dan boleh dianggap derhaka.

Bernama memetik Nik Aziz sebagai berkata, tindakan menegur secara terbuka kepada umum, dianggap tidak bermoral dan tidak patut dilakukan terhadap seseorang Sultan.

nik aziz 01 "Dari segi undang-undangnya saya tidak tahu, dari segi moral, moralnya (perbuatan Karpal itu) tidak betul," katanya.

Nik Aziz berkata mengulas isu kenyataan Karpal yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak berhubung pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak oleh kerajaan negeri baru-baru ini.

Mursyidul Am PAS itu berkata pemimpin parti politik, terutamanya pengerusi DAP itu, mestilah menghormati institusi raja dan menganggap Sultan seperti ibu bapa ketika di rumah.

Katanya, perbuatan tidak menghormati orang tua boleh dianggap derhaka dan ini bertentangan dengan semangat Malaysia dan budaya Melayu yang sentiasa menghormati orang lain.

"Dalam negeri raja ketuanya dan di rumah ibu bapa, dan raja seperti ibu ibapalah di rumah.

"Apa-apa masalahnya, kalau dia ada masalah berundinglah dengan baik," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas merasmikan Projek Mini Hidro Lata Rek, 40 kilometer dari Kuala Krai, Kelantan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS