Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS membuat laporan polis terhadap bekas menteri luar Datuk Syed Hamil Albar, menteri besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung kehilangan hak Pulau Batu Putih kepada Singapura.

pulau batu puteh 140508 pulau batu putih

Ketua penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman bersama 30 orang, membuat laporan tersebut di balai polis Johor Bahru, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

"Mereka tidak berbuat apa-apa ke atas Singapura ketika republik itu membina bangunan dan rumah api.

"Ini menunjukkan kerajaan mengiktiraf Singapura sebagai pemilik pulau itu," katanya kepada Malaysiakini selepas membuat laporan tersebut.

Mazlan mejelaskan, PAS Johor telah memperjuangkan isu itu sejak 1992 dengan mengemukakan memorandum kepada kerajaan dan mengadakan demonstrasi di jeti Pulau Batu Putih.

Sehubungan itu, beliau menggesa sebuah tribunal khas dibentuk untuk menyiasat ketiga-tiga tokoh tersebut yang dianggap "cuai" sehingga kes tersebut gagal di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Teks aduan polis itu seperti berikut:

Aduan dibuat terhadap :

Datuk Seri Syed Hamid Albar (bekas menteri luar)

Datuk Abdul Ghani Othman (menteri besar Johor)

Tan Sri Abd Ghani Patail (peguam negara)

Aduan :

Kelalaian mereka dalam menjalankan tanggungjawab ke atas kedaulatan Pulau Batu Putih dengan membiarkan Singapura mendirikan bangunan selain daripada rumah api Horsburgh.

Sikap berlembut mereka apabila membiarkan Pihak Berkuasa Singapura seperti Marin mengawal sepenuhnya Pulau Batu Putih.

Tindakan proaktif tidak dilakukan mereka apabila Marin Singapura sewenang-wenangnya menghalau nelayan Malaysia daripada menghampiri Pulau Batu Putih.

Pendirian sangat lembut diambil mereka dalam mempertahankan Pulau Batu Puteh, kononnya menjaga hubungan diplomatik, walhal pendirian berbeza dibuat oleh Singapura.

Kegagalan mereka dalam mempertahankan Pulau Batu Putih memberikan implikasi besar terhadap masa depan Pulau Pisang (daerah Pontian) yang juga dikendalikan oleh Singapura.

Akibat tidak bertanggungjawab mereka, Singapura bukan sahaja mengendalikan rumah api di Pulau Pisang tetapi mendirikan bangunan dan mengawal selia Pulau Pisang.

Saya mendesak agar laporan ini disiasat dan tindakan segera dapat dilakukan.

Pengadu : Mazlan Aliman

Jawatan : Ahli jawatankuasa kerja PAS & ketua penerangan badan perhubungan PAS Johor

pulau pisang 260508

ADS