Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor berkata beliau tetap menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) walaupun kini sudah menyertai semula Umno.

Bekas setiausaha politik mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, beliau tidak akan mempertahankan akta tersebut.

"ISA adalah undang-undang yang tidak adil dan perlu ada kajian mengenai akta itu.

"Saya akan memainkan peranan mengenai perkara itu," katanya dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

Menurut Ezam, beliau juga tidak akan mempertahankan Akta Rahsia Rasmi (OSA). Beliau pernah dipenjarakan atas kesalahan di bawah OSA.

Ezam juga berkata, Anwar kini tidak tidak relevan dan tidak penting lagi kepada dirinya.

"Hubungan saya dengan Anwar dan pemimpin-pemimpin kanan PKR sudah tiada lagi sejak saya meninggalkan parti itu tahun lalu," katanya.

Tiada tawaran

Ezam mengambil keputusan kembali semula menyertai Umno kerana tertarik dengan agenda anti rasuah dan kebebasan badan kehakiman yang diumumkan oleh perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga menolak dakwaan umum bahawa beliau menyertai Umno kerana tawaran pangkat dan jawatan tetapi merasa yakin dengan dasar perubahan yang dilakukan oleh perdana menteri.

Bekas orang kuat Anwar itu menambah "ada cubaan untuk memujuk saya kembali ke pangkuan PKR tetapi saya menolak."

"Saya tidak mahu memberi sebab lagi mengapa saya meninggalkan PKR kerana saya telah menjawabnya dua tahun lalu."

Beliau menyerahkan borang keahlian menyertai semula Umno kepada perdana menteri di bangunan parlimen semalam.

Ezam berkata, meskipun Anwar menjadi perdana menteri, beliau akan terus menentang ketua umum PKR itu.

Katanya, sama ada Anwar relevan atau tidak bukan urusan beliau lagi kerana sudah tidak penting lagi.

‘Lenyap prinsip'

Ezam juga mendakwa perjuangan PKR sudah lari dari landasan asal iaitu menjadi parti yang memperjuangkan Melayu-Islam.

"Sebaik keluar penjara, Anwar telah melenyapkan prinsip tersebut," katanya lagi.

Selama ini, tegas Ezam, kaum lain dalam PKR menghormati hak orang Melayu tetapi konsep ini telah lenyap.

Dalam sidang media itu, Ezam juga mengulas mengenai Ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh Umno dan Ketuanan Rakyat oleh PKR.

"Saya tidak percaya kepada Ketuanan Melayu dan hal ini telah saya nyatakan kepada perdana menteri.

"Saya juga tidak percaya dengan Ketuanan Rakyat. Prinsip Malaysia ialah Melayu-Islam yang adil dan mengiktiraf kaum lain.

"Tetapi konsep Melayu ada dan ini yang diperjuangan oleh Umno," katanya.

Ezam bagaimanapun, berkata, beliau sanggup dipergunakan untuk membela kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

ADS