Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu Kampung Baru (PPKPM) telah menangguhkan mesyuaratnya malam tadi, untuk mendapatkan nasihat guaman berhubung notis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merobohkan premis perniagaan di Lot 25 pada 20 Jun depan.

kampung baru weekend market 260508 03 "Kami mahu melibatkan peguam dalam mesyuarat ini untuk meneliti dokumen yang ada," kata Timbalan Yang Dipertua PPKPM, Mohamad Nadzri Abdul Hamid.

Ekoran itu, katanya, mesyuarat tersebut telah ditangguhkan hingga malam ini.

DBKL telah mengeluarkan notis pada 20 Mei kepada peniaga di pasar minggu tersebut supaya mengosongkan premis mereka dalam tempoh sebulan.

Lot 25 Kampung Baru adalah kawasan perniagaan yang terawal Melayu yang pernah dibangunkan semula dan dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1967.

Lot itu meliputi kawasan pasar minggu, gerai Mara, pusat kebudayaan PKNS dan deretan gerai makanan di Jalan Raja Muda Musa.

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Mohamad Nadzri berkata, pihak persatuan mahu peguam membantu meneliti dokumen yang ada, untuk mengetahui implikasinya di segi undang-undang.

'Tunggu dokumen'

Beliau berkata, pihaknya telahpun meminta seorang peguam membantu persatuan tersebut.

Mohamad Nadzri berkata selepas mendapatkan nasihat guaman, barulah pihaknya akan menentukan langkah seterusnya.

kampung baru weekend market 260508 04 Katanya, ini termasuklah permintaan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali untuk mendapatkan dokumen bukti kawasan tersebut milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Buat masa ini, tambah Mohamad Nadzri, pihaknya menganggap ia adalah masalah antara DBKL dengan peniaga di situ.

Semalam, Dr Lo'Lo' berkata, beliau akan menemui Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim minggu depan berhubung isu tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau masih menunggu persatuan berkenaan menyerahkan dokumen bukti kawasan itu milik PKNS.

Sehubungan itu, Mohamad Nadzri berkata, melibatkan kerajaan Selangor dalam hal ini adalah antara jalan terakhir menyelesaikan masalah itu.

ADS