Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 9:53 Menteri besar Selangor mendedahkan hari ini terdapat kes prima facie terhadap bekas pegawainya Mohd Yahya Mat Sahri berhubung usaha memungut wang derma bagi sambutan 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata maklumat kes itu diperolehinya daripada pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) negeri Ja'afar Mahad dalam satu pertemuan petang semalam.

"Pengarah BPR Selangor ... melaporkan terdapat kes prima facie berkaitan salah guna kemudahan pejabat menteri besar untuk meminta derma sambutan 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor," katanya.

Dalam sidang medianya petang ini, Abdul Khalid berkata penggunaan kepala surat pejabat menteri besar mestilah dengan kebenarannya dan surat kutipan derma itu tanpa pengetahuannya.

yahya sahri "Penyalahgunaan kemudahan di pejabat menteri besar Selangor adalah perbuatan yang tidak boleh diterima oleh kerajaan gabungan Pakatan Rakyat yang mementingkan tadbir urus (ala) korporat," katanya lagi.

Tanpa menyebut nama Yahya (foto kiri) , menteri besar berkata pegawai berkenaan telah meletakkan jawatan selepas digantung tugasnya - kedua-dua itu berlaku pada 23 Jun.

Tambahnya, pengarah BPR juga memberitahunya, bekas pegawai tugas-tugas khas itu menggunakan modus operandi yang sama dalam siasatan berhubung isu pengagihan kontrak pembersihan dan kutipan sampah di Petaling Jaya.

Isu awal ini meledak susulan laporan polis dan BPR sekumpulan empat orang yang mendakwa ahli PKR terhadap pegawai kanan Abdul Khalid itu.

Melalui jurucakapnya, mereka mendakwa kepala surat pejabat menteri besar digunakan tanpa nombor rujukan yang jelas dan pegawai tersebut meminta syarikat-syarikat itu diberikan keutamaan dalam pembahagian kontrak itu.

Bagaimanapun, selepas siasatan BPR, Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan berkata tiada kes terhadap Yahya.

Menteri besar minggu lalu menjelaskan, penggantungan Yahya berhubung siasatan dalaman isu kutipan derma sempena sambutan itu yang telah menimbulkan kontroversi, termasuk dilaporkan tidak senangi oleh pemimpin-pemimpin parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat exco kerajaan negeri menjelang 6 petang tadi, Abdul Khalid menambah sebuah firma akauntan antarabangsa telah dilantik untuk menyiasat wang derma tersebut.

"Bagi melancarkan proses siasatan ini, kerajaan negeri memohon supaya syarikat yang terlibat tampil memberikan maklumat, manakala syarikat yang telah dikenal pasti oleh kerajaan negeri akan dipanggil untuk memberikan keterangan," katanya.

"Kerajaan negeri juga akan menyerahkan semula wang derma yang telah dimasukkan ke dalam akaun terlibat jika hasil siasatan jelas membuktikan memang terdapat wang yang dimaksudkan tersebut."

first 100 days khalid ibrahim interview 160608 01 Beliau (foto kanan) , yang juga pengerusi badan perhubungan PKR Selangor, berkata perbelanjaan jamuan makan malam parti itu di Sunway Ballroom yang dijadual diadakan tidak lama lagi "juga akan turut diaudit."

Yahya minggu lalu dilaporkan menafikan penggunaan kepala surat pejabat Abdul Khalid dan juga "tiada sebarang jumlah derma yang dimasukkan ke dalam akaun (PKR) tersebut."

Beliau juga dipetik sebagai berkata kenyataan bekas ketuanya itu dibuat tanpa merujuknya dan tuduhan beberapa pihak sebagai tidak benar.

Mengulas kenyataan Mohamad Ezam Mohd Nor semalam, Yahya hari ini berkata kertas yang ditunjukkan kepada media oleh bekas pemimpin kanan PKR itu hanyalah bahagian hadapan kiriman faksimili sahaja, tanpa mendedahkan kandungan surat yang dihantar serta individu yang menandatanganinya.

Beliau menyifatkan Mohamad Ezam bermain "politik murahan" apabila menyerahkan surat tersebut kepada BPR.

Sementara itu, exco kerajaan tempatan Ronnie Liu berkata, pada 5 Julai, kesemua 288 ahli majlis yang dilantik akan menerima watikah daripada menteri besar di Bangunan SUK.

raja petra court case 060508 ronnie liu Menurutnya lagi, dua pegawai kanan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan berkongsi pengalaman tentang polisi dan isu-isu penting.

"Kita juga menjemput dua orang pegawai kanan daripada kementerian itu untuk beri sedikit sebanyak penjelasan mengenai polisi dan juga isu-isu penting untuk menjadi seorang ahli majlis yang benar-benar berkesan," kata Ronnie (foto kiri) .

Ditanya tentang dakwaan terdapat tiga ahli majlis di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang mempunyai rekod jenayah, Abdul Khalid berkata perkata itu akan diselesaikan kemudian dan tidak menjadi halangan untuk meneruskan lantikan mereka Sabtu ini.

"Itu kita akan selesaikan kemudian. Maknanya, walaupun mereka (ahli majlis) dilantik, mereka juga akan melalui proses semakan. Dan proses semakan itu akan dilakukan dalam masa enam bulan mereka menjadi ahli majlis.

"Oleh sebab itu, saya rasa itu tidak menjadi penghalang untuk kita meneruskan pelantikan ahli majlis," kata menteri besar.

Bercakap dalam sidang media yang sama, exco kerajaan prihatin Dr Xavier Jayakumar berkata, kerajaan negeri juga akan menganjurkan gotong-royong perdana bagi memerangi denggi.

Program yang akan dilancarkan menteri besar Ahad ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Selangor, katanya.

Program itu, tambah Xavier, merupakan kempen turun padang untuk melihat sendiri keadaaan sebenar dan mendengar aduan daripada orang ramai.

ADS