Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Musa akan saman Anwar
Diterbitkan:  Jul 13, 2008 11:59 AM
Dikemaskini: 4:30 PM

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan akan menfailkan saman terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa memanipulasikan maklumat yang boleh mencemarkan reputasinya sebagai Ketua Polis Negara.

"Saya akan memfailkan saman terhadap dia (Anwar) melalui peguam saya, Kamarul Hishamaad dan Hasnol Rezua.

"Itu adalah hak saya sama ada nak saman dia (Anwar) atau tidak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

musa hassan Musa berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina yang memetik 'sumber' bahawa Musa memberi kata dua kepada Anwar sama ada beliau memohon maaf dalam tempoh 40 jam atau berdepan dengan saman berjumlah RM5 juta.

Menurut laporan akhbar itu lagi, Musa turut menyerahkan surat peguam bertarikh 11 Julai 2008 yang menafikan beliau telah menyebabkan kecederaan pada mata Anwar ketika beliau menjadi pegawai penyiasat dakwaan kes liwat Anwar pada tahun 1998.

Ditanya sama ada beliau ada menerima jawapan permohonan maaf secara lisan atau bertulis dari Anwar, beliau berkata: "Saya tidak menerima apa-apa maklumat dari peguam saya berhubung perkara ini."

Musa berkata segala hal-hal berkaitan kes berkenaan telah diserahkan kepada peguamnya.

Pada 1 Julai lalu, Anwar membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor berhubung dakwaan pemalsuan keterangan membabitkan serangan ke atas beliau oleh bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor ketika berada dalam tahanan polis, 10 tahun lalu.

Laporan polis itu turut mengaitkan Musa, yang ketika itu pegawai penyiasat kes terbabit, dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang pada masa itu Timbalan Pendakwa Raya Kanan.

ADS