Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Politik wang: BPR pantau pemilihan Umno
Diterbitkan:  Jul 26, 2008 5:57 PM
Dikemaskini: Jul 28, 2008 4:54 AM

Umno akan bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi memastikan tiada elemen rasuah wujud menjelang pemilihan parti pada Disember ini, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau yang juga ahli Parlimen Putrajaya berkata ini berikutan Lembaga Disiplin tidak mempunyai kapasiti untuk menjalankan pemeriksaan dan tindakan disiplin akan diambil selepas mendapat laporan daripada BPR.

tengku adnan mansor and umno "Lembaga Disiplin tidak mempunyai kapasiti untuk membuat pemeriksaan. Selepas BPR membuat pemeriksaan, kita akan menghantar laporan itu kepada Lembaga Disiplin untuk mengambil tindakan disiplin.

"Itu yang akan kita lakukan kerana Lembaga Disiplin tidak mempunyai mekanisme untuk memeriksa di mana mereka yang terbabit mendapatkan wang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno cawangan Matahari di Presint 8 di Putrajaya hari ini.

Bernama melaporkan beliau berkata langkah itu juga sebagai menunjukkan keseriusan kerajaan membanteras politik wang kerana bimbang jika wujud unsur sedemikian ada pemimpin "diperkudakan" orang tertentu.

"Kita nak membanteras politik wang kerana kita takut bila ada unsur politik wang, ada orang yang memperkuda-kudakan orang.

'Jadi boneka'

"Saya benarkan awak ditaja, bertanding menentang orang lain kemudian dia bagi duit. Jadi, bila dia menang, dia akan jadi boneka," katanya.

Tengku Adnan berkata jawatankuasa bagi memantau perjalanan mesyuarat cawangan telah ditubuhkan yang akan menyelesaikan masalah berbangkit selain politik wang.

Sehubungan itu, katanya tidak semua masalah yang timbul akan dibawa ke Lembaga Disiplin bagi membolehkan keputusan dibuat dengan segera.

"Kita akan bawa ke jawatankuasa pengurusan untuk memutuskan jika cawangan itu tak cukup korum, tak bagi orang masuk, sekat orang, (jadi) jawatankuasa yang khusus ditubuhkan di Ibupejabat akan meneliti semua perkara ini.

"Kita serah kepada jawatankuasa pengurusan untuk menentukan mengikut lunas perlembagaan. Jika perlu mesyuarat semula, mesyuarat semula dan jika cawangan atau bahagian itu perlu digantung, digantung," katanya.

ADS