Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ada pengundi Permatang Pauh mendakwa pemimpin parti politik yang bertanding tidak menghiraukan mereka terutama golongan yang memerlukan bantuan.

Dalam Tinjauan Malaysiakini ke beberapa kampung di parlimen tersebut hari ini, ada penduduk yang mengadu para pemimpin terbabit hanya membantu orang tertentu yang boleh memberi kepentingan sahaja.

Surirumah di Kampung Tun Saadon, Norma Ismail, 31, berkata pemimpin berkenaan tidak tahu kesusahan rakyat kerana mereka tidak turun menemui rakyat.

"Arif (Datuk Arif Shah Omar Shah) tidak turun. Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun tidak turun. Kalau mereka prihatin kepada penduduk, datanglah tengok rakyat di kampung.

"Kami hendak wakil rakyat yang boleh membantu kami. Tetapi saya tidak kenal sama ada Arif atau Anwar," katanya.

Menurut Norma, Kampung Tun Saadon merupakan kubu kuat PKR dan mmepunyai kira-kira 500 pengundi, sebahagian besarnya orang Melayu.

Rahizan Osman, 50, pula mendakwa penduduk Kampung Tun Saadon berpecah angkara politik pilih kasih yang dilakukan oleh pemimpin tertentu.

Janji melampau

"Dulu penduduk sepakat, kini sudah menjadi lain. Wakil rakyat PKR pula, mereka pergi ke tempat orang dia sahaja, orang lain mereka tidak mahu temui," katanya.

Beliau berkata, kawasan Permatang Pauh agak ketinggalan dari segi pembangunan berbanding tempat lain di Pulau Pinang.

Oleh kerana itu, katanya, penduduk mahukan wakil rakyat yang boleh memajukan Permatang Pauh sebagaimana yang dijanjikan.

"Kita tidak mahu mereka yang berjanji secara melampau tetapi akhir tidak boleh melakukannya," katanya.

Penduduk Kampung Mengkuang Titi, Kalsom Ismail, 56, berkata, penduduk kampung lebih mudah percaya kepada pemimpin PKR daripada Umno.

Katanya, pemimpin Umno lebih cepat gelap mata apabila berdepan dengan wang ringgit berbanding pemimpin PKR yang hanya berkhidmat untuk rakyat.

"Dalam Umno, orang atas kenyang orang bawah apa ada? Saya rasa Anwar boleh bantu orang kampung," katanya.

Senang dengan Kak Wan

Kalsom berkata, beliau dan ramai orang kampung yang lain, tidak percaya dengan tuduhan liwat ke atas penasihat PKR itu.

Seorang lagi penduduk, Zakaria Yusof, 60, berkata, ramai pengundi Permatang Pauh gembira dengan ahli Parlimen sekarang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

"Sesiapa sahaja boleh jumpa beliau dan beliau kuat bekerja tidak mengira waktu.

"Banyak juga pembangunan di sini (Permatang Pauh), malah lebih baik daripada beberapa tempat lain," tambahnya.

Dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh kali ini, Anwar berdepan dengan Arif Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanapi Mamat.

Hari mengundi ialah pada Selasa depan.

ADS