Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Himpunan keluarga Merdeka esok
Diterbitkan:  Aug 29, 2008 11:37 AM
Dikemaskini: 4:40 AM

Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menganjurkan program "Himpunan keluarga Merdeka" di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru petang esok.

Di samping menghayati jiwa merdeka sempena hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, majlis tersebut juga diadakan untuk meraikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh Selasa lalu.

Calon Pakatan yang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenangi kerusi tersebut Selasa lalu, akan hadir di majlis tersebut.

Hadir sama ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew.

Ia turut dihadiri Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, exco wanita pusat dan ketua wanita negeri juga beberapa ahli parlimen juga.

Dalam pilihanraya kecil itu, Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi. Beliau mendapat 31,195 undi, mengalahkan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, yang memperolehi 15,524 undi.

Hanafi Mamat, 61, dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) mendapat 92 undi dan hilang wang pertaruhan.

Tokoh serikandi rakyat

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan Wan Azizah pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding.

Dalam pilihanraya Mac lalu, Dr Wan Azizah menewaskan calon BN Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,398 undi.

Permatang Pauh dikuasai PKR sejak pilihanraya umum 1999 dan sebelum itu dimenangi Anwar atas tiket BN sejak 1982.

Anwar, yang juga mantan timbalan perdana menteri dilucutkan daripada jawatan dalam kerajaan pada 1998, berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan liwat.

Beliau menjalani hukuman penjara selama enam tahun sehingga dibebaskan pada 2004.

Menurut kenyataan biro penerangan PKR, majlis tersebut akan berlangsung dari jam 3 hingga 6 petang.

Antara aturcara ialah persembahan sketsa Satria dan diikuti dengan majlis anugerah 'Tokoh Serikandi Rakyat'.

Anwar pula akan menyampaikan ucapan penutup.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS