Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib batal ke AS demi 'ekonomi negara'
Diterbitkan:  Sep 24, 2008 7:44 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Timbalan perdana menteri sekali lagi membatalkan lawatan ke luar negara yang bermula esok selepas berbuat demikian minggu lepas.

Datuk Seri Najib Razak tidak menghadiri lawatan ke Amerika Syarikat selama seminggu hingga 1 Oktober bagi menangani isu-isu ekonomi negara akibat keadaan ekonomi dunia masa kini.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim akan menggantikan Najib sebagai ketua delegasi Malaysia untuk menyampaikan ucapannya di persidangan ke-63 perhimpunan agung Pertubuhan bangsa-bangsa bersatu (PBB) di New York, Ahad ini.

"Pembatalan lawatan kerja ini telah dipersetujui oleh perdana menteri," satu kenyataan daripada pejabat Najib petang ini dipetik.

najib finance minister "(Pembatalan) ini ekoran keadaan ekonomi di peringkat antarabangsa yang menuntut perhatian timbalan perdana menteri untuk menjamin keadaan ekonomi negara terus kukuh."

Sebagai menteri kewangan yang baru dilantik 17 September lepas, menurut kenyataan itu lagi, Najib memerlukan masa untuk mendapatkan segala taklimat mengenai perkembangan semasa ekonomi negara daripada pelbagai jabatan dan agensi.

Bagaimanapun, satu laporan menyebut pembatalan lawatan Najib, yang juga timbalan presiden Umno, berkaitan persaingan dalam parti itu khususnya isu pelan peralihan kuasa antara beliau dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2010.

The Malaysian Insider hari ini melaporkan Abdullah meminta Najib membatalkan lawatannya untuk mengendalikan masalah-masalah itu.

Sabtu lepas, Najib menjelaskan bahawa beliau menangguhkan lawatannya tiga hari ke Arab Saudi yang sepatutnya bermula 19 September bagi "menyusun semula jadualnya untuk memulakan tugas sebagai menteri kewangan."

Beliau juga menafikan penangguhan itu ada kena-mengena dengan senario politik dalam negara, sama ada berhubung kemelut dalam Umno atau ura-ura langkah pembangkang menjatuhkan kerajaan BN yang diusahakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ADS