Krisis institusi beraja NS bukan hanya isu Yamtuan, turut babit Undang - peguam
Beberapa peguam yang mengikuti krisis institusi diraja Negeri Sembilan menegaskan bahawa isu berkaitan kedudukan raja tidak terhad kepada persoalan Yang di-Pertuan Besar semata-mata.
Sebaliknya, peguam berkenaan berkata, pelucutan jawatan Undang Luak Sungei Ujong dan Undang-Undang Luak lain turut menyentuh kedudukan raja berdasarkan tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Demikian kata peguam Emirul Sarifudin Nor, Asmawi Nur Ismail dan Deidra Nur Azmi yang memperkenalkan diri sebagai sekretariat Barisan Peguam Adat Melayu Negeri Sembilan.
"Pelucutan jawatan Undang Luak Sungei Ujong dan lain-lain Undang Luak turut menyentuh kedudukan raja di bawah tafsiran UUTKNS 1959, memandangkan Undang Luak juga membawa taraf sedemikian dalam kerangka perlembagaan negeri.
"Justeru, mana-mana pihak yang mendakwa mempertahankan institusi Raja Negeri Sembilan tidak wajar mengamalkan sebarang bentuk diskriminasi layanan antara Yang di-Pertuan Besar dan Undang-Undang Luak yang terbabit," kata mereka dalam kenyataan.
Sehubungan iti mereka memohon supaya Majlis Raja-Raja meneliti proses yang telah berlaku bagi menilai sama ada tindakan berkaitan penurunan takhta dan penggantian Yang di-Pertuan Besar serta Undang Luak dilaksanakan menurut UUTKNS 1959 dan prinsip kedaulatan undang-undang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/2fad8db89eebcb4956856fc91429ec39.jpg)
Katanya, permohonan supaya Majlis Raja-Raja memberikan nasihat itu tidak bermaksud mengambil alih fungsi pihak berkuasa negeri yang diperuntukkan di bawah UUTKNS 1959.
“Melalui kaedah ini, KDYMM SPB YDPA dan Majlis Raja-Raja tidak menggantikan fungsi badan berkuasa berkenaan, sebaliknya berperanan meneliti semula, memberi nasihat, dan memastikan proses yang berlaku menepati kehendak undang-undang,” katanya.
Sekretariat itu berkata peranan berkenaan boleh dilihat dalam konteks jaminan Persekutuan di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan, khususnya apabila sesuatu keadaan telah mencapai tahap kritikal.
Krisis bermula pada 5 Mac
Dalam kenyataan tersebut mereka juga menegaskan krisis berkenaan perlu dilihat sebagai satu rangkaian peristiwa yang bermula dengan mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 5 Mac 2026.
Menurut sekretariat itu, penelitian terhadap keseluruhan kronologi penting bagi memastikan setiap tindakan yang diambil adalah selaras dengan UUTKNS.
"Krisis ini tidak wajar dinilai semata-mata berdasarkan perkembangan terkini, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu rangkaian peristiwa bermula daripada mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 5 Mac 2026, diikuti perkembangan pada 17 April 2026, sehinggalah kepada keputusan empat Undang pada 19 April 2026.
"Setiap peringkat proses ini mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Yang di-Pertuan Besar dan Undang Luak perlu diteliti secara berurutan, bukan secara terpisah,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan afidavit yang difailkan Undang Luak Johol, Muhammed Abdullah, satu mesyuarat Dewan Keadilan Dan Undang (DKU) telah diadakan di Istana Besar Seri Menanti pada 5 Mac 2026, yang di Pengerusikan oleh Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
/file/attachments/orphans/negeri1adssds_830719.png)
Turut hadir pada ketika itu ialah Undang Luak Sungai Ujong, Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad; Undang Luak Rembau, Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Dato Shahbandar Sungei Ujong, Badarudin bin Haji Abdul Khalid
Menurut Muhammed, suasana mesyuarat DKU pada hari berkenaan agak tegang apabila Mubarak Thahak menegur beberapa salahlaku pentadbiran dan adat yang telah dilakukan oleh Tuanku Muhriz.
Tambahnya, bagi meredakan ketegangan mesyuarat DKU berkenaan, pemimpin adat berkenaan telah meninggalkan mesyuarat dan berkumpul semula di Balai Undang Sungei Ujong untuk mesyuarat lanjutan.
"Kami menyatakan bahawa, dalam mesyuarat lanjutan berkenaan, Kami, plaintif pertama (Mubarak) dan plaintif kedua (Maarof) telah berbincang kembali secara terperinci berkaitan kesemua kesalahan pentadbiran dan adat yang telah dilakukan oleh Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan memutuskan bahawa baginda tidak lagi berkelayakan untuk terus memegang gelaran sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke 11," menurut afidavit itu.
Pada 17 April, DKU sekali lagi mengadakan mesyuarat khas apabila Dato Lembaga Sungai Ujong yang menentang Mubarak dilapor membentangkan kes mereka untuk memecatnya sebagai undang.
Sidang khas di Istana Besar Seri Menanti itu dilaporkan sebulat suara bersetuju pemberhentian Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong atas alasan 33 pelanggaran adat.
Bagaimanapun di pihak Mubarak menafikan dakwaan itu dan menggesa minit mesyuarat sidang khas itu didedahkan.
Berikutan itu pada 19 April Undang Yang Empat berkenaan mengadakan sidang media bagi mendedahkan keputusan mereka menurunkan Tuanku Muhriz.
Mereka mendakwa telah menjalankan siasatan menyeluruh bagi memenuhi syarat siasatan bawah Perkara 10 UUTKNS, selain mengisytiharkan Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar sebagai pemerintah yang sah.
Pada 1 Ogos, DKU mengisytiharkan pemecatan jawatan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong.
Menurut DKU, pemecatan Maarof berkuat kuasa pada 31 Mei 2023 manakala pemecatan Badarudin Abdul Khalid pula berkuat kuasa pada 30 Julai lalu.
Bagi jawatan Undang Luak Rembau pula, DKU memutuskan pelantikan berkenaan tidak pernah disempurnakan mengikut adat yang ditetapkan serta tidak melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang.
Justeru, ketiga-tiga jawatan berkenaan diisi oleh Undang yang baru dilantik.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/eb3d2473bb06041598c1039792a82bdf.jpg)
