Pena: Cerpen, puisi hak kreatif penulis

kemaskini 6:44pm Persatuan Penulis Nasional (Pena) mempertahankan dua penulis kontroversi yang dikritik oleh DAP – Datuk Chamil Wariya dan Dr Ibrahim Ghafar atas alasan "hak penulis untuk berkreatif".

"Pena mempertahankan Dr Ibrahim dan Datuk Chamil atas dasar karya kreatif yang tidak menyatakan secara spesifik kepada apa dan siapa.

"Itu merupakan hak penulis untuk berkreatif," kata setiausahanya Syed Mohd Zakir Syed Othman.

utusan malaysia teresa kok puisi insult ratu anjing dr ibrahim ghaffarBeliau diminta mengulas cerpen Chamil 'Politik Baru YB J' dan puisi Dr Ibrahim, yang juga ahli jawatankuasa persatuan itu, 'Ratu Anjing; Yang Melengking Itu' yang dipertikaikan oleh DAP di Dewan Rakyat.

Semalam DAP juga membuat aduan polis terhadap penulis cerpen tersebut, yang mengisahkan seorang wakil rakyat wanita Cina mati ditembak akibat usahanya memperkenalkan pembaharuan politik, dan penerbitnya Utusan Melayu Bhd.

Persatuan itu bagaimapun belum memutuskan sama ada akan memberikan bantuan guaman untuk tujuan itu, jika wujud tindakan perundangan, kerana belum diputuskan dalam mesyuarat persatuan itu.

"Bantuan guaman kena dapat keputusan mesyuarat, (kerana) melibatkan duit dan komitmen," katanya.

Mohd Zakir, atau nama penanya SM Zakir berkata, jika perkara itu diusulkan dalam mesyuarat agung pertubuhan itu yang dijangka diadakan bulan depan, ia akan dibincangkan.

Bagaimanapun, tambahnya, Pena tegas dengan pendiriannya selama ini yang tidak memihak atau bergerak atas landasan politik sebaliknya mengambil sikap "berdiam" berhubung kontroversi karya sastera dengan ahli politik.

"Sepuluh tahun lalu pun, Pena tidak membuat pendirian terhadap karya kontroversi Shahnon Ahmad, Shit," katanya.

"Politik tidak konsisten. Ada turun-naiknya. Tetapi budaya terus konsisten.

"Kita terus dengan agenda kebudayaan dan memperjuangkan isu-isu bahasa berteraskan Dasar Kebudayaan Kebangsaan."

Penggiat teater dan pengulas filem A Wahab Hamzah berkata, kontroversi muncul kerana orang politik tidak mengerti peranan dan maksud sesebuah karya.

"Kontroversi kerana orang politik tidak faham (karya kreatif)," katanya.

"Orang politik suka popular. Hanya segelintir daripada mereka hadir di Stor Teater (menonton persembahan teater kecil).

"Mereka lebih suka tengok (teater muzikal) Puteri Gunung Ledang dan P Ramlee The Musical (di Istana Budaya)."

A Wahab, juga penulis kolum di Utusan Malaysia, mengulas bantahan DAP terhadap kedua-dua karya kreatif di akhbar harian itu baru-baru ini.

Beliau, yang bertugas sebagai pegawai di bahagian pengembangan sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjelaskan, penulisan kreatif yang mengupas pergolakan politik dihasilkan bertujuan mendapatkan reaksi pembaca.

Lazimnya, tambahnya, sesebuah karya akan menyentuh banyak perkara termasuk hal-hal berkaitan agama, kaum dan budaya.

"Kalau kita tidak sentuh, kita (penulis) dikatakan diam," kata A Wahab, menceritakan dilema seorang penulis berdepan pergolakan isu-isu semasa.

cerpen bunuh politik baru yb j  chamil wariya 151008Karya-karya berbentuk satira politik seperti tulisan Chamil (foto kanan) dan Dr Ibrahim, tambahnya, telah menjadi kelaziman dunia sastera.

Menurut A Wahab, berdasarkan pengalamannya menguruskan Stor Teater di DBP – yang mementaskan drama-drama kecil oleh pengarah-pengarah muda – kira-kira separuh daripada 50 persembahan di situ sejak lima tahun lepas bernada politik.

Sambil mempersoalkan tindakan DAP melaporkan cerpen Chamil kepada polis, beliau berkata berapa kali aduan harus dibuat memandangkan banyak karya boleh dikategorikan sedemikian.

Mengulas babak akhir 'Politik Baru YB J' – menyaksikan pembunuhan seorang ahli parlimen wanita Cina – yang dikaitkan dengan ahli parlimen DAP Teresa Kok, beliau berkata:

"Sebuah karya yang ganas, akan menerbitkan keganasan, betulkah? Kalau tengok filem yang penuh dengan mesej baik-baik, adakah orang itu jadi baik?"

Ditanya had sesebuah cereka, beliau berkata, ia sebegitu bebas dan tidak ada hadnya kerana "nama pun karya kreatif, bebas."
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.