Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akim mahu bertanding di Kuala Terengganu
Diterbitkan:  Dec 2, 2008 1:57 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), iaitu parti serpihan PAS berhasrat untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

"Kita akan bertanding dan kita yakin akan memperolehi sokongan, terutama dari golongan Melayu kerana parti kita memperjuangkan orang Melayu," kata presidennya, Hanafi Mamat kepada Bernama hari ini.

hanafi hamat Katanya, Akim masih bersemangat untuk bertanding walaupun tewas dalam pilihanraya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu.

"Kami mempunyai sokongan yang kuat di Terengganu, terutamanya dari golongan tahfiz dan tabligh yang menyokong perjuangan parti kami," kata Hanafi.

Razali, 59, Timbalan Menteri Pelajaran meninggal ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Allahyarham mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihanraya umum Mac lepas, yang dimenanginya pada 2004.

Dalam pilihanraya Mac itu, beliau menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi dan calon bebas Maimun Yusof yang memperolehi 685 undi.

Hanafi berkata, Akim kini mempunyai lebih 200 ahli di Terengganu dan jumlah itu dijangka bertambah dengan sokongan golongan tabligh dan tahfiz.

Akim, tambahnya, akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk membincangkan secara terperinci mengenai calon dan jentera pilihanraya di Parlimen Kuala Terengganu.

"Secara dasarnya, calon yang akan bertanding mungkin adalah orang tempatan," katanya.

Akim yang ditubuhkan pada 1995 mendakwa mempunyai kira-kira 10,000 ahli di seluruh negara.

Ia pernah bertanding dan tewas pada pilihanraya umum 1999 bagi kerusi kawasan Parlimen Pasir Puteh dan Kota Bharu.

ADS