Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Zaid Ibrahim yang dipecat daripada Umno kelmarin berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat ini.

Beliau juga mempertikaikan pemecatan mendadaknya daripada parti itu kerana tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan.

zaid ibrahim pc umno sacking 041208 02 "Saya juga tidak tahu sebarang kesalahan yang saya telah lakukan.

"Saya tidak menghadiri majlis makan malam DAP atau Kongres PKR untuk memprovokasi sesiapa," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

"Saya sekadar hendak mendengar atas jemputan rakan-rakan, tapi itulah sikap Umno. Ia melihat provokasi dan musuh di mana-mana."

Zaid berkata, jika diberi amaran dan surat tunjuk sebab terlebih dahulu, beliau "tidaklah terkilan sangat".

Bagaimanapun, Zaid berkata, beliau tidak terperanjat dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno memecatnya.

Isteri tidak dipecat

Katanya, beliau tidak akan membuat sebarang rayuan di mahkamah berhubung kes pemecatannya kerana "kalau menangpun, ia adalah kemenangan tanpa makna kerana orang sudah tidak suka".

Bagaimanapun, kata Zaid, isteri beliau Shuliana Shamsuddin Alias yang turut hadir dalam sidang akhbar pagi ini, masih ahli Umno kerana "beliau tidak dipecat".

Menurutnya lagi, tindakan Umno memecatnya juga tidak mencalarkan imej beliau kerana hanya orang yang tidak suka kepadanya sahaja beranggapan begitu.

Katanya, selepas ini, beliau akan memberi keutamaan kepada Yayasan myFuture yang ditubuhkannya.

Yayasan itu bertujuan membantu generasi muda memahami kepentingan demokrasi, kedaulatan undang-undang, keburukan amalan rasuah dan pentingnya keharmonian kaum.

zaid ibrahim pc umno sacking 041208 04 Zaid juga berkata, beliau tidak merasakan pemecatannya berpunca daripada kehadirannya dalam program parti pembangkang tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, Umno yang tidak menerima idea perubahan yang dibawanya.

"Saya ragu mereka boleh (melakukan perubahan)," kata beliau.

‘Pilih kasih'

Beliau turut menyifatkan pemecatannya itu sebagai pilih kasih kerana beliau "orang kerdil" dalam Umno yang tidak mempunyai pengaruh.

"Sedangkan ramai lagi mengkritik Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi) dan mempersendakan parti., bahkan mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman, (tetapi) tiada tindakan diambil.

"Sebab mereka orang-orang besar. Mungkin ada pilih kasih. Saya pergi makan (hadiri majlis berkenaan), dipecat," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan kembali semula ke Umno jika dipelawa berbuat demikian, Zaid menjawab ringkas: "Bukan Umno sekarang".

Beliau juga ditanya sama ada beliau dimaklumkan secara rasmi mengenai pemecatannya itu.

Menurut Zaid, beliau tidak menerima sebarang surat dan beliau mengetahui mengenai pemecatannya melalui laporan akhbar.

Bagaimanapun, katanya, pada malam dia dipecat, beliau menerima SMS dari seorang temannya yang menyebut 'Zaid dipecat'.

Ditanya sama ada beliau akan terus menghadiri program anjuran pembangkang selepas ini, Zaid berkata:

"Kamu akan terus melihat saya dalam program pembangkang, NGO dan kalau Umno sekali pun, saya akan hadir".

Tetapi, secara berseloroh, Zaid menambah: "Orang yang jemput saya itupun akan dipecat".

Zaid turut ditanya siapakah yang menghalang idea-idea perubahan yang dibawanya dalam Umno.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan individu tertentu tetapi berkata: "Saya tidak ada sokongan".

ADS