Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Mohd Khir Toyo sudah menemui hampir kesemua perwakilan pergerakan itu bagi menerangkan misi dan visinya jika dipilih memegang jawatan tersebut.

Sukarelawan yang menggerakkan kempen bekas menteri besar Selangor itu, Faizal Abdullah berkata, perjumpaan seterusnya sedang berlangsung di di seluruh negara.

"Semua calon (ketua Pemuda) ada peluang untuk menang, tetapi kita optimis dengan peluang kita (untuk menang)," kata Faizal timbalan ketua Umno Kapar.

khir toyo 181207 Selepas selesai mesyuarat bahagian 9 November lalu, Dr Mohd Khir memperolehi pencalonan kedua terbanyak selepas ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mukhriz mendapat 74 pencalonan, manakala Dr Mohd Khir 62 dan seorang lagi calon yang layak bertanding jawatan itu, Khairy Jamaluddin memperolehi 53 pencalonan.

Bekas menteri besar Selangor itu, mendapat sokongan padu di beberapa buah negeri terutama di Selangor dengan menperolehi sokongan 15 daripada 22 bahagian di negeri itu.

Sambutan memberangsangkan

Dr Mohd Khir turut mendapat sokongan 11 daripada 24 bahagian di Perak dan lapan daripada 13 bahagian di Wilayah Persekutuan.

Faizal berkata, pertemuan yang diadakan itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada para perwakilan.

"Tetapi kita tidak tahu (sokongan pada Mac nanti) sebab undi adalah rahsia," kata Faizal sambil berkata pihaknya juga menghantar pemantau untuk melihat dan memerhati kecenderungan perwakilan.

Bagaimanapun, tambahnya, perwakilan matang dan bijaksana untuk memilih calon yang terbaik untuk memimpin Pemuda Umno.

Menurut Faizal, selain menjelaskan misi dan visi beliau, Dr Mohd Khir juga mengadakan sesi soal jawab tentang isu-isu semasa.

"Mereka mahu mendengar sendiri jawapan dan reaksi Dr Mohd Khir berhubung isu-isu semasa terutama berkaitan dengan Umno untuk menilai visi dan misi bekas menteri besar Selangor itu," katanya.

Tempoh kempen lama

Ditanya mengenai tempoh kempen yang terlalu lama - sehingga Mac depan - Faizal berkata:

"Ada baik dan buruknya... ia dapat menguji daya tahan dan kesabaran calon-calon (Ketua pemuda)."

Menurutnya lagi, tempoh yang agak lama itu juga membolehkan perwakilan mengenali lebih dekat calon-calon yang bertanding.

Masa yang panjang itu, tambah Faizal lagi, akan digunakan sepenuhnya untuk memperkemaskan lagi kempen di seluruh negara.

"Perlahan asalkan selamat. Kita tak mahu gopoh-gapah. Kita ambil masa untuk berikan kepuasan (dengan penerangan yang diberikan) kepada perwakilan," tambahnya.

ADS