Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPR: Dua exco Perak kekal Adun
Diterbitkan:  Feb 3, 2009 1:00 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

kemaskini 2:33pm Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang didakwa telah kosong melalui peletakan jawatan masih disandang oleh wakil-wakil rakyat PKR.

Susulan itu tiada pilihanraya kecil di kerusi itu kerana SPR tidak boleh menggunakan kuasa bawah Perkara 36(5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan berlakunya kekosongan bagi kedua-dua kerusi tersebut, kata pengerusinya Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof.

ec announces no by election will be held in perak 030209 spr chairman 01 Dalam mesyuarat khasnya pagi ini, SPR memutuskan "wujud keraguan" pada surat peletakan jawatan Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Jailu - masing-masing Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang dan Changkat Jering.

"Oleh itu, SPR ... memutuskan bahawa kerusi-kerusi tersebut masih disandang oleh kedua-dua Adun berkenaan yang memenangi kerusi-kerusi tersebut pada pilihanraya umum ke-12 lepas," kata Abdul Aziz.

"SPR telah meneliti secara mendalam dan rapi dari pelbagai sudut perundangan dan dengan ini memaklumkan bahawa SPR mendapati wujud keraguan terhadap surat-surat peletakan jawatan oleh penyandang-penyandang kerusi berkenaan yang telah dihantar oleh Yang Dipertua DUN Perak itu memandangkkan kedua-dua penyandang kerusi terbabit sendiri secara sedar telah mengesahkan bahawa surat-surat berkenaan tidak berkuatkuasa," tambahnya.

Beliau mengumumkan demikian susulan wujud kekeliruan selepas Speaker DUN Perak V Sivakumar mengisytiharkan kekosongan dua kerusi itu dengan menyerahkan surat-surat tersebut kepada SPR negeri semalam.

Pada hari yang sama, Jamaluddin dan Mohd Osman turut menyerahkan surat, menyatakan bahawa surat peletakan mereka itu tidak berkuatkuasa.

Surat peletakan jawatan mereka itu diserahkan kepada SPR selepas desas-desus kedua-duanya akan meninggalkan PKR dan menyertai BN sejak minggu lepas.

Jamaluddin dan Mohd Osman semalam bagaimanapun menyatakan akan kembali bertugas seperti biasa dan "tidak timbul mereka telah bertukar parti."

Sebagai reaksi segera terhadap keputusan SPR, ketua parlimen DAP Lim Kit Siang menyifatkan suruhanjaya itu bertindak "bercanggahan dengan perlembagaan" apabila membelakangkan keputusan Speaker DUN Perak.

Ahli parlimen Ipoh Timur mendakwa, SPR bertindak seolah-olah sebagai mahkamah, "satu keputusan yang jelas dipengaruhi oleh kepentingan politik BN."

Selepas keputusan SPR ini, kata Lim lagi, "semua pilihan untuk menyelesaikan krisis politik di Perak harus dipertimbangkan."

ADS