Peguam yang mewakili dua anggota polis yang mendakwa dikasari oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Mohd Shuhaily Mohd Zain menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menyemak semula laporan polis tahun 2015 yang mendakwa dirinya dalam kes kekerasan berlainan.

Dalam satu kenyataan hari ini, peguam Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin mendakwa insiden berkenaan berlaku ketika Shuhaily berkhidmat sebagai ketua polis daerah Hilir Perak.

Peguam berkenaan berkata laporan polis dibuat berhubung dakwaan serangan itu pada 19 Nov 2015, namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap Shuhaily berhubung tuduhan tersebut sehingga hari ini.

Malah, mereka mendakwa pengadu akhirnya diberhentikan daripada perkhidmatannya dalam pasukan polis susulan laporan yang dibuatnya.

“Pengadu yang merupakan seorang anggota polis pada ketika itu, telah melalui pelbagai cabaran dan kesukaran dalam perkhidmatan selepas laporan polis terhadap Datuk Seri Suhaily dibuat sehinggalah akhirnya membawa kepada pemberhentian pengadu daripada perkhidmatan dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia.” kata peguam-peguam itu.

Bekas anggota polis itu kemudinnya melantik mereka untuk mewakilinya bagi memohon semakan semula kes tersebut, dengan permohonan dikemukakan supaya AGC mempertimbangkan semula laporan berkenaan.

Kamal Hisham dan Muhammad Nor berkata pertuduhan mahkamah terhadap Shuhaily baru-baru ini memberi harapan baharu kepada anak guam mereka untuk mendapatkan keadilan, dengan memetik prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang.

“Melihat kepada manifestasi kesamarataan di sisi undang-undang tanpa diskriminasi yang ditunjukkan oleh Peguam Negara, apabila Suhaily telah dituduh di mahkamah atas sikapnya yang panas baran ke atas Anggota Pangkat Rendah (APR).

“Pengadu merasakan bahawa beliau masih mempunyai peluang untuk mendapatkan keadilan di bawah pentadbiran kerajaan Malaysia pada masa ini,” tambah mereka.

Peguam berkenaan turut mendesak AGC mempertimbangkan semula laporan polis 2015 itu mengikut lunas undang-undang, dengan menegaskan perkara tersebut perlu disemak bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang dipertahankan tanpa diskriminasi.

Ketika dihubungi Malaysiakini, AKPS memaklumkan pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu buat masa ini.

Perkembangan ini menyusul selepas Shuhaily dihadapkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas dakwaan serangan berasingan melibatkan dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Sept.

Shuhaily mengaku tidak salah atas pertuduhan itu pada 21 Okt di Mahkamah Majistret Sepang.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.