FAM akur Selangor tak endah
Akhirnya jelas - tiada pemain Selangor disenaraikan dalam skuad Pilihan Malaysia menentang kelab Liverpool pada Jumaat ini.
Bagaimanapun, ketiadaan mereka bukanlah disebabkan pemain Selangor tidak berkelayakan, sebaliknya mereka tidak mendapat kebenaran daripada pengurusan untuk menyertai pemain dibimbing jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh.
Sebelum ini tiga nama pemain Selangor ditunjuk sebagai wakil negara dalam perlawanan persahabatan menghadapi kelab Liverpool.
Senarai rasmi pemain yang mewakili Malaysia dikeluarkan FAM semalam.
Pada 13 Julai lalu, FAM menyenaraikan Afiq Azmi, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain import Robert Cornthwaite untuk membantu pasukan negara menentang kelab gergasi Eropah itu.
Bagaimanapun, pemain tersebut tidak melaporkan diri pada 19 Julai lalu bagi persediaan dan latihan di bawah kelolaan Dollah.
Selain itu, pemain import Pahang Dickson Nwakaeme juga 'tidak mengendahkan' permintaan FAM selepas pasukannya bimbang penyerang berbisa mereka itu mengalami kecederaan.
Tetapi dua rakan sepasukannya, Razman Rozlan dan Azammuddin Akil kekal membarisi skuad Pilihan Malaysia walaupun awalnya turut dibantah pengurusan pasukan.
Ukur kemampuan Dollah
Pengurus Selangor, Amirudin Shari bertegas dengan alasan jadual perlawanan padat dan mahu memberi tumpuan baki perlawanan Liga Super 2015 sekali gus bertegas tidak akan menyertai skuad Pilihan Malaysia.
Sementara itu, FAM diam seribu bahasa tanpa sebarang kenyataan walaupun perkara itu dilihat mencabar kredibiliti sebagai badan induk bola sepak negara.
Sebelum ini FAM hanya menegaskan pemain yang dipanggil wajib melaporkan diri ke kem latihan ditetapkan kecuali dengan alasan kukuh iaitu mengalami kecederaan serius.
Pertemuan pasukan Pilihan Malaysia dan Liverpool dilihat akan menjadi pengukur kepada Dollah sebelum menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.
Skuad Harimau Malaya sebelum ini tewas 0-6 kepada Palestin dan seri 1-1 bertemu Timor Leste pada saingan kelayakan itu sebulan lalu. Mereka akan berdepan Emiriyah Arab Bersatu pada 3 September dan Arab Saudi 8 September dalam saingan Kumpulan A.

