Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Bola sepak negara rosak sejak 31 tahun lalu'
Diterbitkan:  Sep 11, 2015 2:00 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

Tanpa berselindung atau berlapik kata, Tengku Mahkota Johor hari ini menyalahkan FAM sebagai punca kemerosotan sukan bola sepak negara.

Menurut kenyataan disiarkan di Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata imej bola sepak negara tercemar selama 31 tahun, iaitu ketika badan berkenaan diketuai presiden terdahulu.

"FAM adalah punca bola sepak tanah air rosak," katanya.

FAM kini dilihat berada dalam situasi amat panas apabila kemarahan demi kemarahan ditujukan kepada mereka.

Jika sebelum ini sesetengah pihak masih dilihat cuba bersabar, kekalahan 0 -10 kepada Emiriah Arab Bersatu pada minggu lalu mencetuskan kemarahan maksimum.

Rasa kecewa itu dijelmakan melalui insiden membakar suar di Stadium Shah Alam ketika skuad kebangsaan menentang Arab Saudi pada Selasa lalu.

Cukuplah mengampu

Seperti biasa pelbagai pihak tampil mendesak FAM mengambil tanggungjawab atas kelemahan sukan bola sepak dengan berundur beramai-ramai bagi membuka peluang kepada pihak lain mengelola badan berkenaan.'

Namun hari ini FAM menyatakan pendirian mereka - meletak jawatan bukan jawapan kepada kemelut yang melanda.

Presiden FAM ketika ini ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengisi jawatan itu daripada bapa beliau, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar.

Tunku Ismail berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan penyokong merusuh di Stadium Shah Alam itu namun dapat memahami apa yang mendorong mereka bertindak begitu.

Beliau juga sempat meminta sesetengah wartawan supaya "cukup-cukuplah mengampu FAM".

Sementara itu Tunku Ismail berkata, beliau tidak berminat untuk menjadi Presiden FAM kerana beberapa faktor.

"Anda perlu faham, orang yang berada dalam FAM adalah mereka yang diundi oleh ahli gabungan. Kebanyakan mereka berada di sana demi sebab-sebab tertentu, dan bukannya untuk memartabatkan bolasepak.

"Macam mana saya hendak bekerja dalam keadaan begitu? Di Johor, contohnya, saya mempunyai kawalan sepenuhnya dari peringkat tertinggi sehingga bawahan. Di FAM, saya mungkin duduk semeja dengan mereka yang tidak boleh bekerjasama, dan saya tidak boleh menggugurkan mereka kerana mereka dipilih melalui undian," katanya.

Perlu dimartabatkan semua peringkat

Namun di sebalik itu Tunku Ismail sempat menyatakan perancangannya jika kerusi Presiden FAM itu adalah miliknya.

Kata beliau, langkah awal yang diambil sebagai presiden ialah membersihkan "segala kecelaruan dalam FAM " selepas 31 tahun ditadbir secara silap.

Langkah lain yang dirasakan wajar oleh Tunku Ismail ialah mendapatkan khidmat jurulatih luar sebagai pengendali skuad kebangsaan.

"Ketiga, untuk memantapkan pasukan kebangsaan, kita perlu memartabatkan pertandingan dalam bolasepak Malaysia di semua peringkat. Apabila kita menambahbaik pertandingan-pertandingan yang diadakan, liga-liga kita akan menjadi lebih kompetetif, dan ini secara tidak langsung meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan.

"Keempat dan yang paling penting dalam bolasepak, adalah pembangunan akar umbi dan pembangunan infrastruktur berkaitan bolasepak. Pendidikan dan pembentukan dalam bolasepak adalah amat penting. Oleh itu, saya menyeru kepada semua pasukan yang bertanding untuk melabur dengan lebih giat lagi ke arah pembangunan akar umbi dan infrastruktur bolasepak mereka," katanya.

Untuk membantu, Tunku Ismail berkata, beliau boleh memberikan 80 peratus bayaran daripada hak penyiaran kepada pasukan yang berkenaan.

Ketika ini, katanya, bayaran daripada hak penyiaran 100 peratus diambil oleh FAM.

Turut menjadi perhatian Tunku Ismail adalah meletakkan pengadil d bawah naungan badan bebas, bukannya FAM untuk "mengelakkan sebarang konflik kepentingan".

Beliau juga berjanji akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis bagi menangani masalah rasuah.

Lihat Komen
ADS