• Jumlah pengagihan dividen sebanyak RM47.64 bilion

  • Ekuiti terus memacu pulangan pendapatan pelaburan, sementara Pendapatan Tetap memberi pulangan yang stabil

  • Aset pelaburan mencecah RM1.02 trilion pada penghujung tahun 2020

Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan prestasi yang kukuh dari aspek operasi dan kewangan bagi tahun 2020 walaupun mengharungi pelbagai cabaran yang timbul akibat pandemik Covid-19.

Ia mengumumkan dividen sebanyak 5.20% dengan jumlah agihan sebanyak RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional, dan 4.90% dividen untuk Simpanan Shariah, dengan agihan berjumlah RM4.76 bilion. Jumlah agihan dividen bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM47.64 bilion.

Dengan purata lima tahun dividen sebenar pada kadar 4.62% untuk Simpanan Konvensional dan 4.32% bagi Simpanan Shariah selepas diselaraskan untuk inflasi, KWSP telah melebihi sasaran strategiknya dengan pengisytiharan purata dividen sebenar tidak kurang daripada 2.00% bagi tempoh lima tahun berturut-turut.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata: "KWSP telah berjaya melindungi simpanan persaraan ahli dengan baik, di samping memenuhi keperluan mendesak untuk mereka menangani cabaran semasa. Ada ketikanya, KWSP perlu mengambil keputusan yang sukar bagi memastikan ahlinya mampu bertahan dalam situasi semasa yang mencabar dan pada masa sama mengimbangi keperluan masa depan mereka.”

Tindakbalas pantas KWSP dalam mengadaptasi strategi dan proses pelaburannya telah berjaya memastikan ia mampu mencapai prestasi yang optimum. Ia akan terus memanfaatkan kekuatan kira-kira 250 anggota pelabur profesionalnya yang komited dan proaktif dalam menguruskan portfolio pelaburan.

“Kerjasama kukuh dan infrastruktur digital yang mantap melancarkan proses penyesuaian diri kami dengan norma kerja yang baru," kata Ahmad Badri.

KWSP juga telah mengimbangi semula portfolio pelaburannya berdasarkan pertimbangan teliti yang menyeluruh. Ini mengambil kira pelbagai peristiwa global seperti pandemik Covid-19, ketidakpastian pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada bulan November 2020, perang dagangan Amerika Syarikat-Cina yang berterusan serta kesan daripada perundingan Brexit kepada pasaran modal di seluruh dunia.

Portfolio pelaburan KWSP pada tahun 2020

Berikutan caruman yang lebih rendah bagi tahun 2020, kemampuan KWSP dalam menyesuaikan diri dengan keperluan semasa telah memastikan pelaburannya dapat memberikan pulangan mampan jangka panjang dalam keadaan norma baru.

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi iaitu sebanyak RM60.98 bilion, yang mana RM6.15 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Shariah.

Prestasi yang baik ini adalah hasil daripada pendekatan yang berhemah berpandukan Alokasi Aset Strategik (atau Strategic Asset Allocation, SAA) yang telah memastikan KWSP tetap berdaya tahan walaupun menghadapi krisis yang tidak dijangka ini. Berdasarkan kelas aset, instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 46% daripada pelaburannya, Ekuiti sebanyak 42%, Hartanah dan Infrastruktur 5%, dan Instrumen Pasaran Wang 7%.

“KWSP ialah pelabur jangka panjang yang kekal komited dengan program diversifikasi merentasi kepelbagaian kelas aset, strategi, pengurus, pasaran, negara dan mata wang. Pendapatan daripada aset luar negara juga memainkan peranan penting bagi prestasi kami," jelas Ahmad Badri. 

Setakat Disember 2020, 33% daripada aset pelaburan KWSP berada di luar negara, merangkumi pelbagai kelas aset, seperti ekuiti, khususnya ekuiti asing yang terus menjadi pemacu pulangan pendapatan pelaburan sebanyak RM28.71 bilion. Sementara itu, portfolio ekuiti persendirian menunjukkan prestasi yang kukuh dengan agihan yang konsisten. 

Setakat hujung tahun 2020:

  • Aset pelaburan keseluruhan: RM998 bilion (+7.9% vs. 2019), dengan nilai pasaran RM1.02 trilion

  • Jumlah ahli: 14.89 juta (+2%)

  • No. majikan yang berdaftar: 534,398.

Walaupun indeks-indeks saham utama mengalami kerugian sebanyak 40% pada suku tahun pertama, KWSP mengambil peluang bagi mengimbangi portfolionya dengan membeli aset yang kukuh pada harga yang berpatutan. Pemulihan pada separuh tahun kedua berikutan pasaran domestik dan global yang kian baik turut menyumbang kepada portfolio pelaburan KWSP. Ini memberi peluang kepada KWSP untuk meraih keuntungan, terutamanya pada suku keempat tahun 2020.

KWSP juga mengambil langkah proaktif dengan mengambil kira turun nilai kos sebanyak RM7.71 bilion daripada ekuiti tersenarainya untuk memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat.

Respons KWSP terhadap cabaran tahun 2020

KWSP bertindak balas terhadap pandemik Covid-19 pada tahun 2020 dengan melaksanakan beberapa langkah awal untuk membantu ahli dan majikan menangani masalah aliran tunai, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 12 Mei 2020, ketika kebanyakan sektor ekonomi terpaksa ditutup.

  • Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari memberi bantuan kewangan kepada ahli. Sehingga kini, sejumlah RM18.1 bilion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari.

  • Membenarkan ahli mengurangkan caruman wajib mereka daripada 11% kepada 7% berkuatkuasa April-Disember 2020.

  • Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) memberi fleksibility kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak untuk memohon penangguhan dan penstrukturan semula caruman majikan. Sebanyak 13,090 majikan telah memanfaatkan kemudahan ini dengan jumlah kumulatif RM84.95 juta.

  • Janji Temu Online (JTO) untuk memastikan langkah-langkah penjarakan fizikal dan SOP (standard operating procedure) dipatuhi dengan ketat sementara jumlah pengunjung dikurangkan di setiap cawangan.

Prospek tahun 2021

“KWSP sudah menjangkau usia 70 tahun dan adalah antara institusi dana persaraan tertua di dunia. Kami akan tetap memberi tumpuan kepada mandat kami iaitu membantu ahli mencapai simpanan yang mencukupi untuk persaraan yang mampan,” kata Ahmad Badri.

Dalam usaha KWSP untuk melindungi dan meningkatkan nilai simpanan persaraan ahli di sebalik turun naik pasaran dan persekitaran yang tidak menentu ini, penekanan terhadap pelaburan berlandaskan elemen Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) akan berfungsi sebagai paksi dan kaedah mitigasi risiko yang berkesan, serta menjadi pemacu dalam menghasilkan dividen sosial yang dapat bertahan dan melangkaui pulangan kewangan, jelas Ahmad Badri.

KWSP juga akan memulakan skim pengeluaran baharu untuk membolehkan ahli membeli produk insurans atau Takaful, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021. “Skim ini dijadualkan untuk dilancarkan pada akhir tahun ini," katanya.

Sumber Rujukan: KWSP