Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan generasi muda supaya menghayati pesanan Perdana Menteri kedua Abdul Razak Hussein mengenai tiga ancaman utama kepada negara atau '3C'.

Menurutnya ancaman itu komunisme (Communism), perkauman (Communalism) dan rasuah (Corruption).

Anwar berkata walaupun ancaman komunis tidak lagi wujud, negara masih perlu berwaspada terhadap pengaruh ideologi asing, selain menangani sentimen perkauman dan gejala rasuah yang masih menjadi cabaran besar.

"(Isu) perkauman masih tebal, manakala rasuah masih menjadi satu daripada masalah di sini," katanya ketika berucap pada program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: "Arkitek Pembangunan Negara Bangsa" di Memorial Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.

Anwar berkata peringatan Tun Razak mengenai rasuah amat signifikan, terutama pesanannya kepada golongan muda bahawa integriti mudah diikrarkan sebelum memegang kuasa, namun prinsip itu sering kali goyah apabila seseorang mula mempunyai kedudukan.

Menurutnya memperingati perdana menteri kedua itu tidak seharusnya hanya mengimbau kehidupan dan sumbangannya, sebaliknya memastikan idea, prinsip serta pemikiran politik Allahyarham terus relevan dan memberi kesan kepada generasi baru.

Perdana menteri berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah antara legasi terpenting Allahyarham yang perlu difahami berdasarkan matlamat asalnya untuk menyusun semula struktur ekonomi dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

Prime minister Anwar Ibrahim at event remembering Negarawan Tun Abdul Razak 080926 feat featuring also Ahmad Zahid Hamidi

Dia berkata DEB tidak seharusnya disalah tafsir sebagai dasar yang hanya memberi manfaat kepada golongan elit atau kroni, sebaliknya ia bertujuan mengangkat martabat golongan miskin serta memberi peluang kepada mereka yang berkemampuan untuk bersaing dalam bidang keusahawanan.

“Saya masih ingat lagi ucapan dan perbincangan kami ketika itu di Seri Taman. Kata beliau, orang miskin itu tidak kenal warna kulit…dan kebetulan (ketika itu) majoritinya orang Melayu.

“Bagi saya DEB masih suatu gagasan yang sangat agung dari sudut penyusunan masyarakat dan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, malangnya dalam naratif semasa, ia cenderung ditafsir dari sudut lain,” katanya seperti dipetik Bernama.

Abdul Razak Hussein former prime minister 080926

Anwar berkata kerajaan hari ini tidak pernah berganjak daripada pendirian untuk membasmi kemiskinan secara menyeluruh, sekali gus meneruskan semangat asal yang diperjuangkan Tun Abdul Razak.

Perdana Menteri berkata prinsip perjuangan Allahyarham dalam menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum kekal relevan serta perlu diperkukuh mengikut tuntutan semasa.

Terdahulu, Anwar mengimbau pertemuannya dengan Abdul Razak ketika dia masih menjadi mahasiswa, termasuk ketika mengunjungi perdana menteri kedua itu di kediaman rasminya, Seri Taman.

Menurutnya, pengalaman tersebut memperlihatkan keterbukaan Abdul Razak untuk mendengar pandangan anak muda yang mempunyai sikap tegas dan mendesak perubahan walaupun pandangan mereka mungkin agak keras.

Prime minister Anwar Ibrahim at event remembering Negarawan Tun Abdul Razak 080926 feat featuring also Ahmad Zahid Hamidi

Bagi Anwar, memperingati legasi Razak tidak seharusnya sekadar mengimbau pencapaian seorang bekas perdana menteri.

Sebaliknya, ia juga perlu memahami idea, nilai dan prinsip yang membentuk wawasannya terhadap negara, serta menerapkan pengajaran itu dalam menangani cabaran yang dihadapi Malaysia hari ini.

"Tokoh ini tidak sembarangan dan tidak datang dan pergi sebagai suatu kisah sejarah yang mudah. Sebab itu tanggungjawab kita adalah bagaimana untuk menyemarakkan lagi api semangat obor perjuangannya.

"Mengenang negarawan bukan tugas mudah, ia boleh menyingkap sejarah, mendambakan perubahan, menghidupkan semangat kewajaran untuk dijadikan pengajaran dan iktibar,"