'Kalau PAS T'ganu tanding semua kerusi, itu bukan bergabung tapi berkabung'
Umno Terengganu menegaskan pihaknya sentiasa bersikap terbuka dalam soal kerjasama dengan parti-parti lain termasuk PAS di negeri itu, terutama selepas mereka menghantar isyarat yang mahukan perpaduan ummah.
Timbalan pengerusinya Nik Dir Nik Wan Ku bagaimanapun berkata ucapan pemimpin PAS untuk mempertahankan semua kerusi yang dimenangi apabila pilihan raya menjelma jelas tidak mempamerkan semangat yang sepatutnya.
Ditanya mengenai situasi di negeri Darul Iman itu, Nik Dir menyifatkan, istilah bergabung antara PAS dan Umno tidak bermakna sekiranya PAS membolot semua kerusi yang sudah mereka menangi sebelum ini.
"Kalau PAS nak tanding semua kerusi, itu bukan bergabung. Itu berkabung!
"Tetapi dalam soal kerjasama ini, kita terbuka," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu Umno Bahagian Marang memuat naik hantaran di Facebook dengan menyifatkan ucapan dasar Presiden PAS Abdul Hadi Awang sempena muktamar mereka di Kelantan pada Jumaat lalu sebagai menghantar petunjuk yang jelas mengenai hala tuju kerjasama yang diinginkan.
Dalam ucapan penggulungan itu, Abdul Hadi berkata, PAS akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi pada PRU ke-15 lalu.
Ia ditegaskan ahli politik veteran terbabit ketika kerjasama dengan Umno-BN semakin jelas dan membuahkan hasil yang menguntungkan kedua-dua pihak, sama ada di Johor mahupun Negeri Sembilan.
Fokus kerusi parlimen baru DUN
Pada masa sama, ia juga dibuat Abdul Hadi ketika PAS-PN sedang mencari formula kerjasama yang lain untuk menghadapi PRN Melaka yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Menanggapi isyarat yang dihantar Abdul Hadi itu, Umno Terengganu bahkan mengucapkan terima kasih dan menganggapnya sebagai "petunjuk yang jelas" untuk parti itu di negeri berkenaan.
"Rundingan di peringkat pusat, pendirian peribadi Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh dan juga risik-merisik di beberapa negeri lain tidak mengikat kami untuk terus menerima bulat-bulat Muafakat Nasional 2.0 di Terengganu," kata hantaran dimuat naik Penerangan Umno Marang itu.
Tambah, Umno terutamanya di Marang menggunakan suara majoriti ahli untuk membentuk pendirian.
"Suara selektif walau bergema sehingga kes bulan, tiada maknanya andai ia bukan suara akar umbi.
"Harus diingat, sehingga ke tarikh tulisan ini, hanya kerana kami membuka pintu rundingan, tidak bermaksud kami pernah memohon dam merayu untuk berunding.
"Kami selesa dengan perjuangan yang bebas dari ikatan tertentu di Terengganu kini," tambah hantaran itu.
PAS melalui gabungan PN merekodkan kemenangan bersih di lapan kerusi parlimen dan 32 kerusi DUN Terengganu dalam PRU ke-15 dan PRN Terengganu 2023.
Jika status quo diamalkan oleh PAS-PN di Terengganu, bermakna Umno-BN tidak akan mendapat sebarang kerusi mudah di negeri berkenaan. Mereka terpaksa bertanding dan meletakkan calon di kerusi yang ada untuk menghantar wakil ke DUN Terengganu.
Sementara itu Nik Dir berkata, apa yang penting pihaknya kini fokus terhadap usaha memperkasakan kepercayaan rakyat.
"Kita kini lebih fokus kepada kerusi-kerusi parlimen dalam mendepani PRU ke-16, belum lagi fokus kepada kerusi DUN.
"Jadi yang penting fokus kita adalah bekerja keras untuk meraih kepercayaan rakyat kepada Umno Terengganu," katanya.
/file/attachments/orphans/NikDirNikWanKudd_404411.jpg)
