Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ingin mengumumkan jualan tiket bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity tahun ini, akan dibuka mulai 27 Mei 2022 bagi perjalanan bertarikh 1 Julai sehingga 31 Disember 2022 menggunakan jadual waktu sedia ada.
Perkhidmatan ETS akan beroperasi dengan 32 servis yang terdiri daripada 10 servis laluan KL Sentral – Butterworth, 10 servis laluan KL Sentral – Ipoh, lapan (8) servis laluan KL Sentral – Padang Besar, dua (2) servis laluan Gemas – Butterworth dan dua (2) servis Gemas - Padang Besar.
Perkhidmatan KTM Intercity beroperasi dengan 22 servis yang terdiri daripada dua (2) Ekspres Timuran, enam (6) Ekspres Selatan dan 14 Shuttle Timuran.

Mulai 1 Julai 2022, perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran akan beroperasi semula dari Stesen Johor Bahru Sentral ke Stesen Tumpat termasuk perkhidmatan Ekspres Selatan yang akan beroperasi dari Stesen Johor Bahru Sentral ke Stesen Gemas.
Ini berikutan sebelum ini laluan Kempas Baru ke Johor Bahru Sentral ditutup operasinya bagi kerja-kerja menaik taraf Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas - JB Sentral (PLBEGJB) pada 23 November lepas.

"Jualan tiket ini dibuka untuk tempoh selama enam bulan, bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal terutama bagi mereka yang akan menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha, cuti sekolah serta mereka yang merancang untuk bercuti," menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd Rani Hisham Samsudin.
Tambahnya lagi, "Pintu sempadan negara telah dibuka dan kita menjangkakan peningkatan pelancong sehingga akhir tahun ini. Oleh itu, pelanggan disarankan supaya membeli tiket segera bagi menikmati kadar tambang murah di samping dapat membuat pilihan tempat duduk,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Melalui Kempen Syoknya Naik Keretapi 2.0 yang telah dilancarkan oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, YB Dato' Seri Hajah Nancy Shukri pada 17 Mei lepas, pengguna KTMB boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM15 dengan hanya menggunakan kod promo CUTIKERETAPI2 bagi perjalanan sehingga 30 November 2022.

Selain itu, pengguna boleh menikmati diskaun tambang perjalanan berkumpulan sebanyak 25% melalui Pakej Keluarga Malaysia dengan menggunakan promo kod KMKTMB22 untuk pembelian tiket dewasa atau kanak-kanak. Minima untuk empat (4) orang dan ke atas dalam satu transaksi pembelian.
"Saranan saya kepada semua pengguna perkhidmatan KTMB agar jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan promosi-promosi yang ditawarkan dan rancanglah perjalanan anda," katanya lagi.
Para pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB.
KTMB terus komited dalam usaha memastikan semua penumpang mematuhi SOP dan pengguna juga perlu memberi kerjasama dalam mematuhi SOP yang ditetapkan untuk kesejahteraan bersama.
Pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB serta laman sesawang di www.ktmb.com.my.
